PGA Briged Utara rampas barang seludup bernilai RM1.9 juta

Mohd Noh menunjukkan sebahagian 188 kes yang berjaya diperolehi dalam penugasan sepanjang sempadan negara dalam tempoh enam bulan.
Mohd Noh menunjukkan sebahagian 188 kes yang berjaya diperolehi dalam penugasan sepanjang sempadan negara dalam tempoh enam bulan.
A
A
A

TAMBUN - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merekodkan 188 kes membabitkan rampasan berjumlah hampir RM1.9 juta sepanjang tempoh enam bulan sehingga 30 Jun lalu.

Kesemua rampasan itu hasil kejayaan dalam penugasan Ops Benteng Covid sempadan darat serta persisir pantai, Ops Bersepadu Khazanah, Ops Bersepadu Kontinjen Perlis dan Ops Kontraban di Perak, Kedah dan Perlis.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, daun ketum mencatatkan rampasan tertinggi sebanyak 36 tan dengan nilai lebih RM1 juta.

"Rampasan lain melibatkan 9,400 batang rokok, 465 botol ubat batuk, 13.98 gram syabu, tujuh laras senjata api bersama 99 butir peluru, 34 kereta, 23 motosikal, tiga bot, 89 ekor unggas dan 545 kilogram daging haiwan.

"Selain itu, seramai 79 individu termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 49 tahun ditahan dalam tempoh tersebut.

Kesemua mereka merupakan warga tempatan, Thailand dan Myanmar," katanya dalam sidang media di Kem PGA Ulu Kinta di sini pada Isnin.

Menurutnya, rampasan itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding tahun 2020 yang mencatatkan sebanyak 205 kes dengan nilai rampasan lebih RM3.8 juta.

"Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berjalan sehingga kini menjadi faktor utama penurunan kes bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini bukan penyebab untuk kita kurangkan penugasan malah diperhebatkan terutama membabitkan kes penyeludupan.

"Seramai 350 pegawai dan anggota bertugas setiap bulan untuk melakukan pemantauan terutama di laluan tikus yang sentiasa berubah-ubah.

Kita turut menggunakan dron untuk mengesan penyeludup-penyeludup ini," katanya.

Briged Utara PGA terdiri daripada empat batalion iaitu Batalion 1 Hulu Kinta, Batalion 2 Kulim, Batalion 3 Bidor dan Batalion 18 Pengkalan Hulu, Skuadron Perisai 1 Kulim serta Skuadron Perisai 3 Ulu Kinta.