Kibar bendera putih, pekerja kilang tuntut penjelasan gaji tak dibayar

Bendera putih dikibarkan dan diletak di pintu pagar bagi menuntut gaji yang tidak dibayar serta sebagai tanda pekerja tertekan tiada sumber kewangan.
Bendera putih dikibarkan dan diletak di pintu pagar bagi menuntut gaji yang tidak dibayar serta sebagai tanda pekerja tertekan tiada sumber kewangan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 1,182 pekerja kilang di sebuah syarikat industri perkayuan di Sipitang merayu supaya majikan dan kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung status pembayaran gaji mereka yang tidak diterima sejak tiga bulan lalu.

Disebabkan keadaan itu, pekerja syarikat terbabit terpaksa menaikkan bendera putih kerana bukan sahaja tiada pendapatan malah terputus bekalan makanan serta keperluan harian yang lain.

Salah seorang pekerja syarikat itu, Bolin Tongoi, 55, memaklumkan mereka tidak menerima gaji sejak April, Mei dan Jun lalu.

"Kami amat tertekan terutama dari segi kewangan. Walaupun ada bantuan disalurkan seperti bakul makanan tetapi kami juga memerlukan wang tunai untuk membeli keperluan lain.

"Jika gaji dibayar, sekurang-kurangnya dapatlah kami beli atau tambah apa yang diperlukan seperti lampin dan susu untuk anak-anak," katanya Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, semua pekerja di syarikat itu memerlukan penjelasan daripada pihak majikan dan kerajaan negeri berhubung status pembayaran gaji mereka.

"Disebabkan tidak menerima apa-apa penjelasan ditambah pula sebelum ini kawasan kami dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyebabkan kami mula menaikkan bendera putih pada awal bulan ini.

"Semua penghuni di sini terjejas dengan keadaan ini menyebabkan kami terpaksa mengangkat bendera putih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pekerja tuntut penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung isu gaji yang belum diterima sejak tiga bulan lalu.
Pekerja tuntut penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung isu gaji yang belum diterima sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah, Engrit Liaw berkata, hampir 2,000 orang membabitkan keluarga pekerja syarikat itu terjejas akibat isu tiada gaji sepanjang tempoh tiga bulan.

"Kami sudah berusaha berhabis-habisan untuk dapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri termasuk ketua menteri dan tiga timbalannya mengenai masalah ini.

"Namun sehingga kini tiada yang datang menjelaskan kepada pekerja berhubung status tiga bulan gaji terbabit menyebabkan pekerja dalam dilema dan akhirnya mereka angkat bendera putih," katanya.

Beliau berkata, pekerja syarikat itu semakin putus harapan apabila setiap hujung bulan mereka memeriksa akaun bank namun tiada sebarang pembayaran dibuat.

"Biasanya pada 29 atau 30 hari bulan mereka akan menerima gaji dan apabila tiba harinya, mereka sanggup beratur panjang di bank tetapi akhirnya tiada gaji yang masuk.

"Tidak ada makluman, itu yang menjadi kemarahan pekerja sehingga kami terpaksa menghantar surat kepada pelbagai pihak untuk mendapat perhatian berhubung isu ini," katanya.