Sila log masuk terlebih dahulu.

Polis rampas rokok seludup bernilai RM120,000

Sebanyak 60 kotak rokok seludup dianggarkan bernilai RM120,000 di rampas dalam serbuan di dua lokasi berasingan diTok Jembal dan Taman Desa Jaya di Kuala Nerus. Gambar kecil: Mohd Marzukhi
Sebanyak 60 kotak rokok seludup dianggarkan bernilai RM120,000 di rampas dalam serbuan di dua lokasi berasingan diTok Jembal dan Taman Desa Jaya di Kuala Nerus. Gambar kecil: Mohd Marzukhi
A
A
A

KUALA NERUS - Dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok ditahan ketika menaiki dua buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dua lelaki berusia 20-an yang menaiki kenderaan jenis Honda dan Mitsubishi itu ditahan kira-kira jam 4.30 pagi di sekitar Kampung Kubang Parit di sini.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan beberapa kunci, manakala kereta jenis Honda dinaiki seorang daripada suspek telah diubahsuai dengan dibuang kerusi belakang dipercayai untuk melakukan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Marzukhi berkata, susulan penahanan itu, pihak polis telah melakukan dua serbuan di dua premis berbeza di Tok Jembal dan Taman Desa Jaya pada hari sama dan telah menemukan 60 kotak rokok seludup dianggarkan bernilai RM120,000 di lokasi berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan telah direman selama 12 hari," katanya.

Beliau berkata, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan import.

Katanya, jika sabitan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai atau RM100,000 hingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan: