PKPD: Kedai runcit dibenar beroperasi

Kedai runcit dibenarkan beroperasi di PKPD Desaria.
Kedai runcit dibenarkan beroperasi di PKPD Desaria.
A
A
A

SEREMBAN - Semua kedai runcit yang berada di Taman Desaria, Nilai yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin sehingga 18 Julai dibenarkan beroperasi bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, bagi mereka yang tidak dikuarantin boleh membeli dan mendapatkan barangan keperluan harian di mana-mana kedai runcit dalam kawasan PKPD terbabit.

“Bagi mereka yang menghadapi masalah seperti sedang menjalani kuarantin, bantuan makanan akan disalurkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Penduduk yang terdiri daripada pekerja-pekerja asing pula, keperluan mereka akan diuruskan oleh majikan masing-masing memandangkan ada 14 kilang yang mempunyai pekerja tinggal dalam Taman Desaria ini,” katanya di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Nizam turut memberitahu sebanyak 374 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Taman Desaria dan ujian saringan secara bersasar akan dilaksanakan di taman perumahan tersebut oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Saringan bersasar akan dijalankan oleh pihak PKD kepada kumpulan-kumpulan yang kita rasakan berisiko di taman tersebut. PKD akan buat satu klinik sementara dan saringan akan dilakukan di situ.

“Pemasangan kawat duri juga sudah dilakukan bermula semalam, persiapan logistik juga sudah selesai dan mana-mana yang belum lengkap akan disiapkan hari ini,” katanya.

Seramai 1,256 penduduk di Taman Desaria terlibat dalam PKPD yang membabitkan 314 unit rumah yang didiami, 17 unit kedai, sebuah balai raya, sebuah masjid dan sebuah premis tadika.

Artikel Berkaitan: