2.3 juta warga emas dapat vaksin PICK fasa dua

Khairy
Khairy
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 2.3 juta warga emas telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa dua.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah itu daripada keseluruhan 4.1 juta dos vaksin yang diberikan dalam fasa kedua yang turut merangkumi orang kurang upaya (OKU) dan individu yang mempunyai komorbiditi.

"Individu OKU yang mendapat suntikan vaksin seramai 127,775 dan mereka yang mempunyai komorbiditi pula seramai 853,554,” katanya ketika sidang akhbar mingguan perkembangan PICK di sini pada Isnin.

Khairy berkata, setakat Isnin, jumlah keseluruhan kumpulan fasa dua yang mendaftar di bawah PICK seramai 5.4 juta dengan 2.89 juta daripadanya warga emas.

"Kira-kira 20.8 peratus daripada jumlah warga emas yang berdaftar dan masih belum mendapat vaksin kebanyakan telah diberikan janji temu dan dijangka menerima dos pertama bulan ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:


Pada masa sama, beliau memaklumkan kumpulan warga emas di negeri yang memulakan fasa tiga PICK merekodkan sekurang-kurangnya 80 peratus vaksinasi membabitkan golongan warga emas yang mendaftar.

Katanya, negeri berkenaan ialah Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Labuan, WP Putrajaya, Perlis, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Perlis.

Khairy menambah, jumlah keseluruhan populasi Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas yang menerima sekurang-kurangnya satu vaksin setakat Ahad ialah 27.3 peratus manakala 11.2 peratus pula lengkap dua dos vaksinasi.