Penduduk kehabisan beras segan minta bantuan dibantu

Amirul Aizat (kanan) menyerahkan sumbangan makanan kepada penerima di sebuah kawasan perumahan.
Amirul Aizat (kanan) menyerahkan sumbangan makanan kepada penerima di sebuah kawasan perumahan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seramai 150 penduduk kurang berkemampuan termasuk 80 peratus daripada mereka yang kehabisan bekalan beras di sekitar Ulu Yam, Batang Kali dan Serendah lega apabila menerima bantuan bekalan makanan pada Jumaat.

Bantuan diserahkan Jabatan Amal Hulu Selangor menerusi tabung yang dikumpulkan dengan kerjasama ahli dan Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor (Geng Talaqqi) untuk diagihkan kepada penduduk.

Ketua Pemuda Pas Zon Ulu Yam Baru, Amirul Aizat Mohd Mirza, 26, berkata, penerima bersyukur menerima bantuan ketika mereka tidak dapat keluar membeli barangan keperluan.

Beliau berkata, sumbangan beras, biskut, susu, sardin, gula dan telur serta barangan lain itu cukup bagi kegunaan keluarga terbabit untuk tempoh beberapa hari.

“Alhamdulillah barangan dapat disalurkan dan ketika ditemui kebanyakan mereka buntu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan bekalan makanan ketika ini.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mereka hanya bergantung kepada bekalan makanan yang ada malah akur supaya tidak keluar rumah walaupun bergaji hari," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, katanya, agak sukar untuk mengesan keluarga yang memerlukan selepas kebanyakan mereka tidak mahu memaklumkan kesusahan kepada mana-mana pihak.

"Kebanyakan mereka segan untuk menerima bantuan walaupun hidup susah, lawatan dari rumah ke rumah dapat membantu.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH mewakili Jabatan Amal Malaysia Hulu Selangor bersama Geng Talaqi, kami akan sentiasa bekerjasama menjaga kebajikan mereka yang memerlukan di sini," katanya.