X

Kindly register in order to view this article
!

'Datang bawa plastik dan petik sayur secara percuma'

Salad yang ditanam di GM Peladang, Kuala Ibai. Gambar kecil: Zamir Ghazali
A
A

KUALA TERENGGANU – Prihatin dengan kesukaran hidup masyarakat berikutan pandemik Covid-19, GM Peladang iaitu sebuah syarikat pembangunan pertanian mengambil langkah menyumbang sayur percuma kepada orang ramai.

Pengurus Besar GM Peladang, Zamir Ghazali berkata, pemberian sayur-sayuran itu telah digerakkan sejak sebulan lalu hasil cetusan idea pelajar di sana, namun semakin mendapat sambutan seminggu lalu selepas dimuat naik dalam Facebook.

“Sejak dua tiga hari lalu, semakin ramai yang datang dengan bilangan antara 10 hingga 15 orang sehari. Kebanyakan mereka tinggal di sekitar Kuala Terengganu terutama di Kuala Ibai dan Batu Burok.

“Konsepnya mudah, datang bawa beg plastik dan petik sendiri sayur mereka mahu secara percuma. Kita tidak letakkan sebarang syarat, ambil dan bawa balik untuk dimakan bersama keluarga di rumah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Zamir, antara sayuran boleh dipetik adalah salad, sawi putih dan bayam brazil dengan gred premium yang ditanam melalui kaedah fertigasi dan hidroponik di tanah seluas kira-kira setengah ekar.

Selain salad, sawi putih turut ditanam dan boleh dipetik oleh mereka yang memerlukan.
Selain salad, sawi putih turut ditanam dan boleh dipetik oleh mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya ada menyumbang bakul makanan kepada golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan pemberian sayur percuma merupakan kesinambungan kepada bantuan itu.

“Melalui sayur percuma ini, kita mahu masyarakat dapat makan makanan seimbang dan sihat. Lebih-lebih lagi sayur yang kita tanam ini segar dan bebas penggunaan bahan kimia serta racun.

“Selain itu, orang ramai juga boleh didedahkan dengan kaedah menanam sendiri melalui tanaman moden dan mudah secara fertigasi serta hidroponik.

“Insya-ALLAH, pemberian sayur percuma ini akan diteruskan sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh. Cuma sekarang ada beberapa blok sayur yang sudah dituai, kena tunggu hasil blok lain pula,” katanya yang mempunyai 15 pelajar.

GM Peladang yang ditubuhkan sejak tahun 2001 merupakan syarikat pembangunan pertanian dan pusat latihan bertauliah swasta pertama di Terengganu.

Syarikat terletak di Kuala Ibai itu menghasilkan pelbagai jenis tanaman seperti cili, tomato, timun dan buah melon di tanah seluas 1.2 hektar dan berjaya membimbing ratusan usahawan tani fertigasi di seluruh negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!