X

Kindly register in order to view this article
!

700 pekerja kilang mula terima vaksin di NS

Mohamad Rafie (kiri) ketika melakukan lawatan di PVV PIKAS d'Tempat, Sendayan pada Isnin.
A
A

SEREMBAN - Seramai 700 pekerja daripada dua kilang sekitar Seremban menerima suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Negeri Sembilan yang bermula pada Isnin.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, progam vaksinasi bagi sektor industri ini sangat penting bagi memulihkan semula ekonomi negara, khususnya di Negeri Sembilan.

Menurutnya, kluster perindustrian merupakan antara penyumbang terbesar jangkitan Covid-19 yang berlaku di negeri ini.

"Kerajaan negeri sedang berusaha untuk menjadikan sektor perkilangan di negeri ini sebagai kawasan bebas Covid-19 dan hanya melalui pemvaksinan, saringan berterusan serta pematuhan SOP yang ketat dapat memastikan matlamat (kilang bebas Covid-19) tercapai.

"Kita berharap apabila semua pekerja sektor industri ini menerima vaksin sekali gus dapat merangsang semula pemulihan ekonomi. Buat permulaan ini, hanya 700 sahaja pekerja akan divaksin dan jumlah tersebut akan bertambah sehingga 1,500 orang dalam satu masa," katanya ketika ditemui.selepas melakukan lawatan di PPV PIKAS, di d'Tempat Sendayan pada Isnin.

Antara pekerja kilang yang menerima suntikan pada Isnin.
Antara pekerja kilang yang menerima suntikan pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Sembilan, Zetty Hamimi Zakaria dan Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Ho Kong Soon.

Mengulas lanjut, Mohamad Rafie berkata, sebanyak 56 syarikat telah berdaftar di bawah program PIKAS di negeri ini membabitkan lebih 23,000 pekerja di sektor industri.

Jelasnya, sebuah lagi PPV PIKAS akan dibuka di Catteleya bagi memudahkan pekerja industri di sekitar Senawang menerima suntikan mereka di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan itu turut mencadangkan agar setiap individu yang ingin memasuki premis kilang di negeri ini diwajibkan menjalani ujian Covid-19 RTK Antigen sebagai proses saringan pertama.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan hanya pekerja kilang yang benar-benar sihat sahaja dibenarkan bekerja.

"Memandangkan sekarang ini semua kilang hanya membuat pemeriksaan suhu badan sahaja dan itu tidak dapat memastikan bahawa seseorang itu benar-benar bebas daripada Covid-19.

“Bagi melaksanakan ujian RT PCR, ia mungkin tidak sesuai kerana mengambil masa yang lama untuk mendapatkan keputusan ujian serta harga kos ujian yang agak mahal. Namun, kemungkinan ujian yang paling sesuai adalah RTK Antigen, walaupun mempunyai ketepatan sekitar 85 peratus tetapi ia boleh dilaksanakan dalam tempoh sekitar 10 minit.

“Penggunaannya sebagai proses saringan pertama dan ia adalah merupakan kaedah terbaik ketika ini walaupun ketepatan ujian tidak mencapai 100 peratus," katanya.

Justeru, beliau berharap cadangan ini boleh dipertimbangkan serta dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memulihkan semua ekonomi negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!