X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

JAINJ laksana program Gerobok Rezeki di 269 masjid, surau

Pihak pengurusan Kampung Masjid Taman Rinting, Johor Bahru menyerahkan barang keperluan asas sumbangan Gerobok Rezeki kepada penduduk setempat yang memerlukan di taman itu pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 269 masjid dan surau di seluruh daerah di Johor dijadikan pusat agihan bagi program Gerobok Rezeki anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Timbalan Pengarah Operasi JAINJ, Anoar Sarimin berkata, Gerobok Rezeki itu mula dilaksanakan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu orang ramai yang terjejas pendapatan.

Menurut beliau, sehingga kini program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kariah masjid dan surau serta penduduk setempat yang turut menyumbangkan barangan asas seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan gula pasir.

"Antara masjid yang menjadi pusat agihan termasuklah Masjid Kampung Kurnia, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Masjid Kampung Melayu Pandan dan Masjid Taman Rinting di Johor Bahru.

"Barang-barang yang dalam Gerobok Rezeki ini juga disumbangkan oleh jemaah masjid," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Kurnia di sini pada Ahad.

Anoar berkata, terdapat beberapa masjid dan surau meletakkan jadual untuk mereka mengambil barang tetapi ada masjid dan surau yang membenarkan boleh diambil pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak pengurusan masjid dan surau untuk memastikan semua penerima dan penyumbang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tambahnya, terdapat juga pengurusan masjid dan surau yang mengambil maklumat penerima bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terjaga meskipun selepas menerima bantuan menerusi Gerobok Rezeki berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!