X

Kindly register in order to view this article
!

Tabung Haji menang Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021

Dari kiri; Ketua Pegawai Teknologi TH, Shamsul Kamal Hussein Kamal; Amrin; Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof ; Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad dan Pengurus Besar, Digitalisasi Perniagaan TH, Mohamed Ameen S.M.A Abdul bergambar bersama trofi anugerah.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) memenangi Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2021 bagi kategori Perkhidmatan Dalam Talian-Perkhidmatan Kewangan buat julung kalinya menerusi platform THiJARI.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada projek inovatif yang dilaksanakan TH menerusi aplikasi THiJARI.

Menurut beliau, ia turut membuktikan komitmen TH dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan dan haji yang memudahkan kepada orang awam dan para pendeposit.

“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada TH dan merupakan manifestasi sokongan para pendeposit atas usaha kami menambah baik perkhidmatan dalam talian dengan pengenalan THiJARI demi kemudahan mereka.

“Ia juga seiring dengan perkembangan digital masa kini dan menjadi platform utama dalam membantu mendepani cabaran pandemik Covid-19 sekarang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, TH dalam kenyataan berkata, platform THiJARI direka dengan susun atur yang kemas, navigasi mesra pengguna serta dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna.

Menurut kenyataan itu, TH komited menambah baik perkhidmatan mereka termasuk aplikasi THiJARI yang terbukti menjadi pilihan terbaik para pendeposit dalam melakukan urusan transaksi setiap hari.

“THiJARI kini boleh dicapai melalui web (www.thijari.com.my) atau dimuat turun menerusi aplikasi iOS dan Android.

“Walaupun baru setahun selepas dilancarkan, pengguna THiJARI Web telah mencecah hampir 830,000 dan 430,000 pengguna THiJARI App dengan 50,000 transaksi direkodkan setiap hari,” kata kenyataan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!