X

Kindly register in order to view this article
!

Subsidi upah benteng pertama bantu PKS, pastikan pengangguran rendah

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Memastikan pengangguran yang rendah dengan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengekalkan pekerja mereka menerusi subsidi upah dan moratorium pinjaman semasa pandemik, adalah benteng pertahanan pertama untuk membantu isi rumah, menurut Asia Analytica.

Perkhidmatan penyelidikan dan institusi itu berkata, sektor berkenaan membentuk tulang belakang ekonomi dan mewujudkan banyak pekerjaan.

Katanya, Program Subsidi Upah (PSU) kerajaan yang bertujuan memastikan rakyat Malaysia kekal bekerja dan mengelakkan pengurangan tenaga kerja, memberi impak meluas kepada PKS kerana ia melibatkan sehingga 500 pekerja bagi setiap PKS.

“PSU terbuka kepada PKS yang secara umumnya mengalami sekurang-kurangnya 30 peratus penurunan pendapatan,” katanya menerusi laporan yang diterbitkan The Edge Malaysia.

Menurutnya, PKS menerima subsidi upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja yang meraih pendapatan di bawah RM4,000 sebulan untuk sehingga 500 pekerja bagi setiap PKS.

“Subsidi upah setinggi RM1,200 bagi setiap pekerja di bawah skim pertama dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Priharin), dan had gaji sehingga RM4,000 turut digugurkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih),” katanya.

Asia Analytica berkata, ia menganggarkan sektor itu akan menerima subsidi upah sebanyak 13 bulan untuk tempoh 21 bulan dari April 2020 hingga Disember 2021 di bawah pakej ekonomi iaitu Prihatin, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (Kita Prihatin), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), Pakej Rangsangan Pemerkasa Tambahan dan Pemulih.

Katanya, secara teori, PKS yang mempunyai 500 pekerja boleh menikmati subsidi sebanyak RM300,000 sebulan selama 13 bulan.

“PKS di sektor terpilih dan terjejas akan menerima tambahan subsidi upah selama enam bulan, atau sebanyak 19 bulan,” katanya.

Menurutnya, memandangkan strategi itu adalah untuk membantu syarikat agar bertahan dan mengekalkan pekerja mereka, fokusnya adalah untuk menstruktur semula pembayaran balik hutang mereka supaya mempunyai mudah tunai dan aliran tunai yang mencukupi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!