Tinggal dadah bernilai RM2.1 juta dalam plastik hitam

Abdullah (dua dari kanan) bersama pegawai yang terlibat menunjukkan dadah yang dirampas di kawasan berhampiran Kuala Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor di sini pada Sabtu.
Abdullah (dua dari kanan) bersama pegawai yang terlibat menunjukkan dadah yang dirampas di kawasan berhampiran Kuala Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor di sini pada Sabtu.
A
A
A

TUMPAT - Polis merampas dadah jenis syabu dan heroin base bernilai RM2.1 juta yang ditinggalkan di dalam bungkusan plastik hitam dekat kawasan Kuala Taman Tengku Anis, Pengkalan Kubor di sini pada Sabtu.

Bungkusan plastik hitam yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 36 kilogram (kg) dan 8.4 kg heroin base itu ditemui anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat ketika melakukan rondaan Op Tapis di kawasan sempadan Malaysia-Thailand pada jam 4.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, semasa melakukan rondaan pihaknya melihat dua lelaki beredar keluar dari lokasi tersebut dengan menaiki bot enjin galah menuju ke Tak Bai, Thailand.

"Hasil pemeriksaan kami telah menjumpai dua bungkus plastik hitam di atas batu di tepi tebing mengandungi dadah.

"Kesemua dadah yang dirampas dibawa balik ke IPD Tumpat untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan di IPD Tumpat di sini pada Isnin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan plastik hitam pertama mengandungi satu guni berisi 29 bungkusan warna hijau berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu.

Abdullah berkata, pemeriksaan ke atas plastik kedua telah menjumpai satu guni berisi tujuh lagi bungkusan dadah jenis syabu.

"Selain itu polis turut menemui 24 bungkusan mengandungi dadah jenis heroin base berat 8.4 kg.

Artikel Berkaitan:

"Tiada tangkapan dilakukan, bagaimanapun pihak kami sedang melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti pembekal dan penerima dadah yang dirampas," katanya.

Menurut Abdullah, siasatan awal mendapati sekiranya bekalan dadah itu 'lolos' ke pasaran ia mampu digunakan kepada 222,000 penagih.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan bekalan dadah tersebut untuk pasaran negeri ini sebanyak 20 peratus, manakala 80 peratus untuk Lembah Klang.

"Sejak Januari lalu ini adalah kes rampasan terbesar dilakukan di daerah ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.