DHL Express sempurnakan penghantaran vaksin sumbangan AS ke Malaysia

Petugas DHL melakukan kerja-kerja pengendalian bagi proses penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak sejuta dos sumbangan Amerika Syarikat di Raya Complex pada Isnin.
Bekalan vaksin itu adalah sumbangan kedua negara luar selepas Malaysia menerima satu juta dos vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca dari kerajaan Jepun Khamis lepas. - Foto Bernama
Petugas DHL melakukan kerja-kerja pengendalian bagi proses penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak sejuta dos sumbangan Amerika Syarikat di Raya Complex pada Isnin. Bekalan vaksin itu adalah sumbangan kedua negara luar selepas Malaysia menerima satu juta dos vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca dari kerajaan Jepun Khamis lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - DHL Express pada Isnin telah menyempurnakan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech sumbangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Penyedia logistik itu berkata, ketibaan sekitar 1,000,000 dos itu adalah sebagai sebahagian daripada komitmen AS baru-baru ini untuk membantu usaha pemulihan di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif DHL, Express Asia Pasifik Ken Lee berkata, penghantaran itu dapat dilakukan menerusi program Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX) yang bertujuan mempercepatkan akses global bagi imunisasi menentang pandemik berkenaan.

"Kami sangat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan dan saya amat bangga pasukan ini sekali lagi berjaya menghantar satu lagi kumpulan vaksin Covid-19 ke Malaysia.

"DHL Express akan terus memanfaatkan jaringan global dan kepakaran logistik perubatan yang kukuh untuk memastikan bahawa vaksin yang menyelamatkan nyawa ini tiba dengan selamat dan cepat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

DHL Express telah mengatur pengambilan vaksin dari kemudahan di AS sebelum dihantar dari hab Cincinnati ke DHL Express Subang Gateway, dan kemudiannya akan diedarkan ke lokasi yang ditentukan di Kuala Lumpur.

Ia menambah, perjalanan mengambil masa hanya empat hari dengan pematuhan pengendalian dan penyimpanan yang ketat.

Sementara itu, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, setakat ini, DHL telah menghantar lebih daripada 300 juta dos vaksin yang diluluskan ke seluruh dunia dengan lima juta daripadanya adalah ke Malaysia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat bawa 1 juta vaksin Pfizer sumbangan AS selamat mendarat

Artikel Berkaitan: