Kerajaan perkenal lapan pakej ekonomi bernilai RM530 bilion sejak tahun lepas

Asia Analytica menyatakan hutang kerajaan meningkat 1.4 kali lebih cepat daripada pendapatan, iaitu hutang dan jaminannya meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10 peratus dari 2008 hingga 2020, melebihi CAGR Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal hanya 5.2 peratus.
Asia Analytica menyatakan hutang kerajaan meningkat 1.4 kali lebih cepat daripada pendapatan, iaitu hutang dan jaminannya meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10 peratus dari 2008 hingga 2020, melebihi CAGR Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal hanya 5.2 peratus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memperkenalkan lapan pakej ekonomi bernilai RM530 bilion secara keseluruhan untuk menangani krisis sejak pandemik Covid-19 diumumkan tahun lepas, menurut Asia Analytica.

Perkhidmatan penyelidikan dan institusi itu berkata bagaimanapun, ramai yang menyuarakan masalah mereka berikutan bantuan yang tidak mencukupi walaupun jumlahnya amat besar.

“Ramai yang membandingkan skim kita dengan skim di Amerika Syarikat, United Kingdom atau Singapura, yang dilihat amat baik,” katanya dalam laporan yang diterbitkan oleh The Edge Malaysia.

Katanya, kerajaan menghadapi krisis dalam kedudukan pembiayaan yang lemah berikutan skandal kewangan, perbelanjaan berlebihan, pinjaman berlebihan dan kelalaian kewangan di bawah kerajaan terdahulu.

“Kita mempunyai banyak skandal kewangan dan pengurusan fiskal yang lemah sebelum ini dan sumber kewangan negara telah terjejas walaupun sebelum Covid-19 melanda negara,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak mampu untuk berbelanja secara agresif seperti negara lain dengan lembaran imbangan yang kukuh berikutan berbuat demikian akan menyebabkan kedudukan fiskal, kedudukan kewangan, mata wang dan inflasi negara, antara lainnya, lebih berisiko membawa kesan buruk.

Asia Analytica berkata, hutang kerajaan meningkat 1.4 kali lebih cepat daripada pendapatan, iaitu hutang dan jaminannya meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 10 peratus dari 2008 hingga 2020, melebihi CAGR Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal hanya 5.2 peratus.

Oleh itu, katanya, hutang kerajaan meningkat dua kali ganda daripada kadar pendapatannya dalam tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah mengambil langkah bijak merangka secara menyeluruh di seluruh negara, merangkumi moratorium pinjaman selama enam bulan dari April hingga Oktober 2020, untuk semua individu serta perniagaan besar dan kecil.

Katanya, moratorium menyusun semula seluruh portfolio hutang semua individu dan perniagaan di Malaysia dengan berkesan, memperluas obligasi mereka dan menyediakan talian hayat kepada individu dan perniagaan dengan menawarkan kecairan yang amat diperlukan untuk menghadapi krisis global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kecairan dan aliran tunai adalah talian hayat yang penting untuk membantu seseorang mengatasi krisis. Ya, pengkritik boleh mempertikaikan bahawa pinjaman hanya ditangguhkan dan masih perlu dibayar dan ia tidak menangani kerugian pendapatan,” katanya.

Katanya, dua moratorium pinjaman secara menyeluruh, enam bulan di bawah Prihatin enam bulan lagi di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), adalah penting berikutan hutang isi rumah Malaysia yang tinggi dan kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah hingga sederhana mempunyai pendapatan budi bicara yang minimum selepas membayar balik pinjaman.

Asia Analytica berkata, dianggarkan sejumlah RM4,400 geran sekali sahaja turut diberikan kepada isi rumah selain penangguhan pinjaman pendidikan, sewa perumahan awam dan rebat elektrik.

Katanya, strategi menyusun semula hutang korporat dan individu melalui moratorium pinjaman merupakan langkah yang lebih berhemah dan bertanggungjawab untuk diambil serta berkesan dalam membantu aliran tunai banyak pihak sejak 16 bulan lepas. - Bernama