'Dakwa mimpi Kaabah dikelilingi berhala' : Polis

letak patung di surau

Shamsul Amar (tengah) menunjukkan patung berhala yang dirampas polis susulan tertangkap seorang lelaki berusia 37 tahun. (Gambar kecil: Patung yang dirampas.)
Shamsul Amar (tengah) menunjukkan patung berhala yang dirampas polis susulan tertangkap seorang lelaki berusia 37 tahun. (Gambar kecil: Patung yang dirampas.)
A
A
A

KLANG - Mendakwa sering bermimpi melihat Kaabah dikelilingi patung berhala, seorang lelaki mengaku meletak patung itu di Surau Sabilul Huda, di Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, di sini.

Itu pengakuan lelaki berusia 37 tahun selepas diberkas polis Bahagian Siasatan Jenayah Klang Selatan, kira-kira jam 6.15 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar berkata, terdapat dua kes berhubung penemuan patung berhala di surau tersebut yang dilaporkan berlaku pada Rabu dan Sabtu lalu.

Menurutnya, susulan laporan polis, suspek yang merupakan seorang penganggur diberkas di rumahnya, kira-kira 200 meter dari surau tersebut.

"Soal siasat mendapati, suspek positif dadah jenis syabu dan mengaku pernah belajar ilmu agama yang salah (gila isim) di negara jiran.

"Menurut suspek, ketika berada di rumah keluarganya dia sering bermimpi melihat Kaabah yang dikelilingi patung berhala. Ekoran mimpi itu suspek percaya dia perlu melakukan perkara yang sama di surau itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Beliau berkata, suspek ini telah meletakkan sebuah patung Datuk Gong dalam kejadian pertama dan dua lagi patung berhala kecil dalam kejadian kedua kononnya bagi mengajak penganut agama tersebut untuk melakukan ibadah di surau terbabit.

Tambah Shamsul Amar, siasatan juga mendapati ada antara patung ini dicuri dari sebuah tokong kecil serta diambil dari tempat pembuangan sampah.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak tolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental. Semakan rekod yang dibuat juga mendapati suspek ini mempunyai dua rekod jenayah lampau. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan merangkumi semua aspek," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gempar patung berhala dalam surau]

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua berhala pula di Surau Sabilul Huda]

Tegasnya, justeru polis menolak sama sekali kejadian yang berlaku ini adalah perbuatan individu atau berkumpulan untuk mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama. Kejadian juga tiada kaitan dengan isu hubungan antara kaum dan agama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.