Cari rezeki dalam tong sampah

Ahmad Tajudin meraih pendapatan hasil jualan barangan terbuang sampah.
Ahmad Tajudin meraih pendapatan hasil jualan barangan terbuang sampah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ada yang memandang ia sebagai satu pekerjaan yang jijik dan kotor namun semua itu diabaikan oleh seorang bekas pemandu bas yang kini menjadikan barangan terbuang sebagai punca pendapatan selepas berhenti kerja sejak lima bulan lalu.

Ahmad Tajudin Ibrahim, 46 yang tinggal di Perumahan Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini berkata, dia sudah lali berdepan kata-kata kurang enak dilemparkan terhadapnya sejak melakukan pekerjaan itu empat bulan lalu.

"Ramai yang hina dan pandang negatif pekerjaan saya, namun saya terpaksa tulikan telinga dan butakan mata terhadap kata-kata yang dilemparkan orang sekeliling.

"Ada sebab yang orang tak tahu mengapa saya melakukan pekerjaan ini," ketika ditemui Sinar Harian, pada Ahad.

Menurutnya, walaupun sumber pendapatannya yang diperoleh hasil menyelongkar tong sampah tidak begitu lumayan, sekurang-kurangnya ia mampu dikongsikan bersama beberapa kanak-kanak tidak bernasib baik yang tinggal di kawasan itu.

Katanya, setakat ini memperoleh pendapatan sekitar RM400 sebulan hasil jualan barangan kitar semula sejak empat bulan lalu

"Nak kata lumayan tak juga sebab berapa sahaja boleh dapat hasil jualan bahan buangan yang boleh dikitar semula.

"Ada hari-hari molek (baik) boleh dapat RM30 hingga RM40 sehari bergantung pada barangan yang ada pada hari berkenaan. Pernah juga dapat RM15 sehari.

Artikel Berkaitan:

"Hasil diperoleh itu juga akan dibahagikan kepada beberapa kanak-kanak yang menawarkan diri untuk membantu saya mencari barangan kitar semula dari tong sampah berdekatan," katanya.

Menurut Ahmad Tajudin, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu bas selepas isterinya, Zuraidah Ahmad @ Nik, 39, memaklumkan anak-anaknya tidak betah tinggal di rumah dan sering berkeliaran bersama rakan-rakan di sekitar kawasan perumahan.

Selain itu, katanya keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan sektor berkenaan juga agak merudum selepas penularan pandemik Covid-19.

"Saya bimbangkan keselamatan anak-anak dalam tempoh pandemik Covid-19 ini kerana mereka tidak 'lekat' di rumah dan asyik berjalan sehingga ada yang mengadu anak-anak saya mandi sungai bersama kawan-kawan.

"Kebetulan ada yang bermurah hati berikan saya motosikal roda tiga jadi saya boleh gunakan untuk angkut barangan terbuang untuk dihantar ke kawasan pengumpulan di Chendering.

"Kalau bawa bas, saya tidak ada banyak masa untuk pantau anak-anak lagipun isteri terpaksa menjaga seorang anak yang masih kecil.

"Sebab itulah saya ambil keputusan untuk kerja cari barangan terbuang berdekatan kediaman sementara menanti kerja yang lebih baik. Ada yang mempelawa bawa lori namun saya terpaksa menolak kerana ia melibatkan perjalanan jauh," katanya.

Ahmad Tajudin mempunyai enam cahaya mata, Putri Aina Nastasha, 17; Putra Sirajuddin, 14; Putra Nasrullah, 12; Putra Zulfikar, 11; Putri Ramadhani Balqis, 8, serta Putra Muhammad Aswadi yang kini berusia 18 bulan.