Pembakaran terbuka di Bukit Tabur ketika PKPD

Api marak jelas kelihatan di cerun Bukit Tabur dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka pada Jumaat lalu.
Gambar kecil: Azhari
Api marak jelas kelihatan di cerun Bukit Tabur dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Azhari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun pelbagai nasihat dikeluarkan oleh kerajaan, namun masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab berani serta berdegil melakukan pembakaran secara terbuka.

Penduduk mendakwa, lebih mengecewakan ia berlaku di cerun Bukit Tabur di Taman Melawati, Ampang Jaya di sini ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati, Azhari Abdul Taharim, 62, berkata, kali terakhir aktiviti pembakaran secara terbuka di cerun Bukit Tabur berlaku pada lewat petang Jumaat lalu.

Beliau berkata, Bukit Tabur ditutup kepada orang awam sejak tahun 2017 dan mereka yang mahu mendaki bukit berkenaan perlu mendapatkan permit terlebih dahulu daripada pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, walaupun sudah lama ia ditutup kepada awam tetapi pemilik kawasan tanah persendirian dipercayai diberikan kebenaran untuk menjalankan aktiviti pertanian di cerun Bukit Tabur.

"Namun perkara paling utama ialah kita tidak boleh melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka yang menyumbang kepada pencemaran hingga menjejaskan keselamatan penduduk, itu perkara utama.

"Saya nak tahu adakan mereka sudah mendapatkan kebenaran merancang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, kebenaran itu diperlukan walaupun kawasan itu adalah tanah persendirian.

"Kedua apabila tempat itu diratakan kelak, ini akan menyumbang kepada hakisan dan beri kesan buruk kepada penduduk di bawah. Sebab itu, mereka perlu ada kebenaran merancang," kata Azhari kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Wakil penduduk itu menambah, mereka sudah membuat aduan kepada beberapa pihak sebelum ini namun tiada sebarang tindakan diambil sebaliknya aktiviti tersebut semakin serius mutakhir ini.

Sehubungan itu, katanya, agensi kerajaan berkaitan harus segera turun padang dan mendakwa mereka yang sengaja melakukan pembakaran terbuka di cerun Bukit Tabur di bawah akta sedia ada.

Dalam pada itu, Sinar Harian sudah memaklumkan mengenai aduan berkenaan kepada pegawai kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai terbabit berkata, perkara itu akan segera dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar.

End