Kesan rama-rama Hafiz Hiew

Hafiz Hiew - Foto Twitter Hafiz Hiew
Hafiz Hiew - Foto Twitter Hafiz Hiew
A
A
A

KESAN rama-rama atau “butterfly effect” ialah satu metafora yang berkisarkan konsep kebergantungan sensitif pada keadaan asal, iaitu satu perubahan kecil pada satu tempat dalam sistem yang kompleks akan memberi kesan besar selepas itu.

Frasa ini merujuk kepada idea bahawa sayap rama-rama yang menghasilkan perubahan kecil dalam atmosfera bumi ini mungkin akhirnya menyumbang kepada kejadian tornado di lokasi sama atau lokasi lain.

Kibasan sayap mewakili perubahan-perubahan kecil pada keadaan asal dalam sistem yang kemudiannya menyebabkan rantaian peristiwa yang menjadi punca kepada peristiwa-peristiwa berskala besar.

Rama-rama bukanlah penyebab utama tornado dalam erti kata memberi tenaga kepadanya tetapi ia menjadi punca dalam erti kata kibasan sayapnya menjadi bahagian asas yang kemudiannya mencetus rentetan kejadian yang menyebabkan tornado. Tanpa kibasan sayapnya, tornado mungkin takkan pernah wujud.

Begitu juga halnya dengan kebajikan. Mungkin nilai sedekah kita kecil dan kita tidak mampu untuk membantu ramai orang tetapi sedikit kebaikan yang kita lakukan itu boleh memberi kesan rama-rama apabila lebih ramai lagi turut membuat kebajikan.

Saya terpanggil untuk berkongsi kisah sahabat saya, saudara Hafiz Hiew, yang merupakan mantan Setiausaha Macma Kelantan ketika saya mula-mula memegang jawatan Pengerusi pada 2013.

Ketika itu, beliau bukannya hidup senang tetapi beliau amat suka bersedekah. Ketika susah dan tidak punya apa-apa sehinggalah berjaya sekarang, sifat suka bersedekahnya tetap sama, sedekahnya juga semakin banyak.

Setelah lapan tahun berlalu, beliau kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn Bhd dan sifat gemar bersedekahnya masih tidak hilang.

Artikel Berkaitan:

Nama beliau tular tahun lepas setelah memberikan sumbangan RM1 juta kepada Tabung Wakaf Pembinaan Masjid Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor.

Siapa sangka, Cina mualaf ini bukan sahaja tidak menagih wang zakat, malah mampu memberikan sumbangan sebanyak RM7 juta pada 2020 sahaja.

Untuk 2021, sehingga kini, sudah lebih RM3 juta disumbangkan kepada pelbagai pihak. Beliau tidak sedikit pun risau kekayaannya berkurang dengan sumbangan tersebut.

Hafiz Hiew amat yakin bahawa apabila seseorang memberi sedikit atau sebahagian daripada hartanya, dia sebenarnya memberi harta ALLAH dan ALLAH jugalah yang akan membalasnya dengan ganjaran berlipat ganda. Beliau meletakkan sepenuh keyakinan bahawa akan bertambah rezeki dengan sedekah yang diberikan.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah.” (Riwayat Muslim)

Ketika banyak perniagaan menanggung kerugian sehingga ada yang gulung tikar akibat pandemik Covid-19, syarikat TDC Holdings Sdn Bhd terus meraih keuntungan melalui jualan susu kolostrum C2Joy dan Safe & Joy. Malah, jualan syarikat bertambah tiga kali ganda pada tahun lepas iaitu lebih RM100 juta jika dibandingkan dengan RM30 juta pada 2019.

Selain dirinya, Hafiz Hiew juga menggalakkan para dealer C2Joy untuk turut sama bersedekah, sama ada secara terus atau melalui syarikat TDC Holdings.

Mereka ibarat rama-rama di seluruh Malaysia yang sama-sama mengibas sayap masing-masing sehingga mewujudkan puting beliung yang besar bergelar ‘fenomenaC2Joy’ dalam hal kebajikan.

Kebaikan yang kita lakukan, walaupun sekecil biji sawi, pasti ada kesannya. Begitu jugalah kejahatan yang kita lakukan, biarpun sekecil zarah, bakal membawa ribut kemudian hari. Jom kita jadi orang baik-baik.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia