Latihan di AS azimat Jinq En

 Phee Jinq En
Phee Jinq En
A
A
A

PERENANG negara, Phee Jinq En sudah bersedia untuk membuktikan kemampuannya di Sukan Olimpik Tokyo selepas mengharungi latihan intensif di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Jinq En, dia sudah berada pada tahap terbaik dan optimis mampu memberikan keputusan lebih baik berbanding ketika kali pertama dia menyertai Sukan Olimpik Rio, Brazil pada 2016 lalu.

“Di AS saya dapat banyak pertandingan kerana di sana peraturan SOP tidak terlalu ketat berbanding di sini. Saya dapat menyertai pertandingan dan berlatih dengan lebih bebas.

“Saya dapat bersaing dengan perenang terbaik dunia selain pengalaman dan pendedahan itu sangat bermakna. Memang untuk beberapa bulan lepas keadaan agak sukar kerana Covid-19 tetapi saya rasakan saya sudah bersedia berbanding tahun lepas,” katanya dalam sidang media secara maya baru-baru ini.

Jinq En bakal membuat penampilan kedua dalam temasya sukan terbesar dunia itu menerusi acara 100 dan 200 meter (m) kuak dada pada temasya di Tokyo yang akan bermula pada 23 Julai ini.

Dalam masa sama, dia turut mengakui Olimpik kali ini akan menjadi lebih berbeza berbanding aksi pertamanya di Olimpik Rio apatah lagi dia sudah lebih matang untuk mengharungi temasya tersebut kali ini.

Namun, dia tidak mahu memberikan sebarang janji sebaliknya bersedia untuk memberikan persembahan cemerlang di Tokyo.

“Ketika menyertai Olimpik Rio itu saya baru berusia 18 tahun. Saya tidak tahu apa yang saya lakukan dan rasa sangat gementar.

Artikel Berkaitan:

“Namun, selepas lima tahun saya rasa lebih matang dan mempunyai banyak pengalaman dan mampu berikan yang lebih baik. Saya tak berani menjanjikan apa-apa tetapi sudah pasti saya mahukan keputusan lebih baik berbanding penampilan kali pertama,” katanya.

Jinq En mempamer aksi cemerlang ketika temasya Sukan SEA Filipina apabila berjaya meraih dua pingat emas menerusi acara 50m dan 100m kuak dada.