WHO beri amaran Covid-19 kini dalam fasa berbahaya

Varian Delta menyumbang sebahagian besar kes jangkitan di kebanyakan negara yang kembali mencatatkan kes lonjakan. - Foto AFP
Varian Delta menyumbang sebahagian besar kes jangkitan di kebanyakan negara yang kembali mencatatkan kes lonjakan. - Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik Covid-19 kini berada dalam ‘fasa yang sangat berbahaya’ akibat ancaman varian Delta yang lebih mudah berjangkit telah dikesan di 98 negara.

Ketua agensi di bawah PBB itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, varian yang pertama kali dilaporkan di India dengan nama B.1.617.2. itu terus berkembang dan bermutasi.

“Ia menular dengan cepat tanpa mengira kadar vaksinasi sesebuah negara. Tiada negara yang berjaya keluar daripada ancaman wabak ini,” ujarnya.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) memaklumkan hampir 25 peratus daripada kes jangkitan baharu di Amerika dikaitkan dengan varian Delta dan ia menunjukkan peningkatan daripada enam peratus pada awal Jun.

Jabatan Kesihatan Awam England pula mendedahkan virus bermutasi itu meliputi 99 peratus daripada ujian penjujukan Covid-19 manakala Pusat Eropah untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit memberi amaran varian Delta menyumbang 90 peratus daripada kes keseluruhan di blok tersebut menjelang akhir bulan depan.

Varian berbahaya itu juga menyebabkan lonjakan kes jangkitan di rantau Asia hingga memaksa beberapa negara melaksanakan semula lockdown selain mempercepatkan program vaksinasi.

Bagi mencapai imuniti kelompok, Dr Tedros sekali lagi mengulangi gesaan supaya memvaksin sekurang-kurangnya 10 populasi di negara masing-masing.

Sementara itu, kajian terbaharu menemui bukti epidemik koronavirus melanda Asia Timur kira-kira 20,000 tahun lalu dan cukup dahsyat untuk meninggalkan kesan evolusi pada asid deoksiribonukleik (DNA) generasi pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

Laporan penyelidik University of Arizona diterbitkan menerusi jurnal Current Biology itu mendedahkan, wabak koronavirus purba pernah berlarutan di rantau tersebut selama beberapa tahun.

Sejak lebih tiga dekad lalu, tiga koronavirus Covid-19, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) telah menjangkiti manusia serta kajian mendapati ketiga-tiganya disebarkan daripada kelawar atau haiwan mamalia lain. - Agensi