Polis tidak pernah halang mana-mana pihak hulur bantuan

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Polis Diraja Malaysia tidak pernah menghalang sebarang usaha atau program bantuan oleh mana-mana pihak kepada rakyat yang terjejas ekoran Covid-19 khususnya dalam tempoh fasa satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad bagaimanapun berkata, penyampaian bantuan perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mempunyai kebenaran daripada pihak berwajib seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri/ Daerah atau Pusat Kawalan Operasi Bencana.

"Terdapat salah faham berkaitan dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini berkaitan bantuan yang disampaikan seorang penganjur di sebuah medan selera di Plaza Malim di sini kira-kira 3.50 petang pada 1 Julai lepas.

"Pada hari kejadian, ketika Ketua Polis Balai Malim dan dua anggotanya sedang menjalankan tugas pemantauan pematuhan SOP di kawasan itu, terdapat ramai orang beratur di kaki lima medan selera berkenaan dan mendapati berlaku aktiviti pengagihan barang makanan kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, seorang wanita yang berada di kawasan tersebut mengaku sebagai penganjur program bantuan berkenaan dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat aktiviti pembungkusan dan pengagihan makanan sedang dilakukan.

Katanya, anggota dan pegawai polis terlibat telah memberi nasihat kepada penganjur agar menghentikan aktiviti pembungkusan dan pengagihan barangan makanan itu kerana menyebabkan orang ramai berkumpul dan ia lebih kepada penyampaian sumbangan secara bersemuka dan bukannya seperti yang didakwa iaitu program bank makanan.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, semasa perbincangan dilakukan antara anggota dan pegawai polis terlibat bersama penganjur, ia turut disertai ADUN terlibat dan nasihat serta SOP yang dijelaskan diakui difahami mereka sekiranya ingin melakukan program bantuan kepada rakyat.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang tangkapan atau kompaun dikeluarkan terhadap pihak penganjur.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis ingin menegaskan bahawa bantuan makanan menerusi bank makanan boleh dijalankan tanpa melibatkan orang ramai berkumpul dan perlu mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Orang ramai dinasihatkan berhubung terus dengan bilik gerakan Polis Diraja Malaysia atau MKN bagi mendapatkan penjelasan atau mempunyai sebarang pertanyaan berhubung aktiviti atau program sumbangan atau makanan bagi mengelak kekeliruan " katanya. - Bernama