Video tular: Polis buka kertas siasatan

Polis buka kertas siasatan video TikTok tular.
Polis buka kertas siasatan video TikTok tular.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Polis membuka kertas siasatan susulan penularan satu rakaman video dalam aplikasi TikTok berkaitan dakwaan peningkatan jangkitan Covid-19 di Selangor berpunca daripada tindakan pengusaha kilang yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video berdurasi 3.04 minit tersebut memaparkan seorang wanita warga tempatan yang memperkenalkan dirinya sebagai pengerusi gabungan pertubuhan bukan kerajaan di Selangor.

"Dia mendakwa peningkatan jangkitan Covid-19 di Selangor kerana tindakan pengusaha kilang sarung tangan telah memindahkan pekerjanya yang positif Covid-19 daripada asrama pekerja di daerah Petaling Jaya dan menempatkan mereka di dua buah hotel di Klang bagi membolehkan mereka hadir bekerja dalam tempoh PKPD," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamad Fakhrudin berkata, wanita itu juga mendakwa terdapat kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang sarung tangan tersebut menyebabkan seluruh asrama pekerja di Sungai Way, di sini dikenakan tindakan PKPD, namun kilang tersebut masih beroperasi sepenuhnya.

"Kita telah menerima laporan berkenaan video yang tular itu kerana perbuatan individu dalam video itu telah mendatangkan ketakutan kepada masyarakat bahawa penularan Covid-19 di Selangor adalah berpunca daripada tindakan pengusaha kilang tersebut yang tidak mematuhi arahan PKPD," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka oleh bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara terhadap pengusaha kilang tersebut di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit kepada nyawa.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Manakala siasatan terhadap individu di dalam video yang tular tersebut di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana telah menyebarkan satu kenyataan yang mendatangkan khianat awam menyebabkan ketakutan kepada orang awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Fakhrudin mengingatkan orang ramai supaya lebih peka dan prihatin sebelum menyebarkan apa-apa maklumat.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhubung dengan pihak berwajib sekiranya mempunyai maklumat pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan dan bukannya menyebarkan kepada media sosial," katanya.