Aktiviti melombong bitcoin terbongkar, tiga lelaki ditahan

Tempat perlombongan mata wang bitcoin yang dipecah masuk pada Jumaat.
Tempat perlombongan mata wang bitcoin yang dipecah masuk pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis berjaya membongkar kegiatan perlombongan mata wang bitcoin dan penyambungan elektrik secara haram yang dilakukan seorang lelaki di Bandar Baru Farlim, di sini pada Jumaat lalu.

Perkara itu terbongkar selepas pemilik rumah kedai berkenaan membuat laporan polis mengenai kejadian pecah masuk yang berlaku kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu disedari selepas dia menerima amaran penggera daripada telefon bimbitnya.

"Ketika itu lelaki berkenaan yang sedang berada di rumah bergegas ke kedainya dan sebaik tiba terserempak dengan tujuh lelaki yang melarikan diri dengan menaiki sebuah sebuah van dan kereta.

"Bertindak atas laporan yang dibuat lelaki itu, polis mengesan sebuah van dinaiki oleh suspek di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada 4.30 petang sebelum menahan dua lelaki berusia 34 dan 37 tahun serta merampas tiga komponen komputer yang dicuri dari rumah kedai berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Soffian berkata, susulan tangkapan itu, polis melakukan siasatan lanjut ke atas premis berkenaan pada 12.15 tengah malam dan mendapati premis itu digunakan untuk kegiatan perlombongan bitcoin menggunakan penyambungan elektrik secara haram, selepas menemukan 149 mesin bitcoin bersama beberapa kelengkapan lain itu.

Beliau berkata, pemeriksaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempercayai kegiatan itu dilakukan sejak empat bulan lalu dan menyebabkan TNB kerugian kira-kira RM180,000.

Katanya, pemilik premis dan dua rakannya telah ditangkap kerana mengusahakan tempat perlombongan mata wang bitcoin berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketiga-tiga mereka berusia antara 24 hingga 33 tahun direman dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dua lelaki yang dipercayai suspek pecah masuk premis berkenaan dan mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah direman tiga hari dan polis sedang mengesan beberapa lagi rakan mereka bagi membantu siasatan.