TMJ minta kaji semula SOP, bimbang rakyat alami masalah mental

A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat prosedur operasi standard (SOP) patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih.

Menurut Tunku Ismail, rakyat sudah dikurung hampir dua bulan dan sehingga kini statistik harian Covid-19 masih menunjukkan jumlah kes yang tinggi.

"Saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk. Di samping itu, masalah sosioekonomi juga timbul akibat situasi ini yang berpanjangan.

"Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi dan dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau HRH Crown Prince of Johor pada Ahad.

Tunku Ismail berkata, penggunaan 'rapid test kit' dan 'test kit' peribadi juga perlu diperkenalkan secepat mungkin untuk semua orang.

Tunku Ismail (kanan) selepas melakukan pertemuan dengan Onn Hafiz (kiri), Hasni (dua dari kiri) dan Azmi selepas melakukan pertemuan di Royal Polo Club Johor, Johor Bahru pada Ahad.
Tunku Ismail (kanan) selepas melakukan pertemuan dengan Onn Hafiz (kiri), Hasni (dua dari kiri) dan Azmi selepas melakukan pertemuan di Royal Polo Club Johor, Johor Bahru pada Ahad.

Menurut Tunku Ismail, penggunaan itu perlu digunakan secara meluas khususnya untuk sektor-sektor yang penting selain petugas barisan hadapan khususnya sektor kritikal melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas.

"Rakyat juga patut disaringkan secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk Bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperoleh vaksin secara pembelian terus," katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail melakukan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Ahad.

Dalam perjumpaan tersebut Tunku Mahkota Johor itu meminta kerajaan negeri mempercepatkan lagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan pandemik Covid-19 yang kini dalam keadaan yang kritikal.