Agihan Bantuan Bakul Makanan menyeluruh supaya tiada yang tertinggal

Rina Mohd Harun ditemui ketika sidang media selepas mengagihkan sumbangan barang keperluan dalam program Kembara Prihatin Negara@Kongsi Rezeki (KPN) di Taman Maluri, hari ini. -Foto Bernama
Rina Mohd Harun ditemui ketika sidang media selepas mengagihkan sumbangan barang keperluan dalam program Kembara Prihatin Negara@Kongsi Rezeki (KPN) di Taman Maluri, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menegaskan agihan Bantuan Bakul Makanan di kawasan Parlimen Titiwangsa dibuat secara menyeluruh bagi memastikan tiada golongan memerlukan yang tertinggal.

"Saya tolong semua, saya tak pernah tanya mereka orang (kawasan) mana ketika memberi bantuan... ada antara penerima bukan penduduk Parlimen Titiwangsa, tidak daftar mengundi pun, kita bantu semua tak kira latar belakang dan di mana mereka berada," katanya kepada pemberita.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, setakat ini 10,000 Bantuan Bakul Makanan telah diagihkan di kawasan Parlimen Titiwangsa dan selain itu individu yang layak turut diberikan bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan seorang penduduk di Titiwangsa di sini yang mengatakan bahawa ada permohonan bantuan bakul makanan ditolak kerana pemohon merupakan pengundi kawasan Parlimen lain.

Sebelum itu, Rina menyantuni sebuah keluarga yang memerlukan bantuan di Taman Maluri di sini hari ini melalui program Kembara Prihatin Negara@Kongsi Rezeki (KPN).

Beliau berkata, melalui program KPN itu bantuan keperluan asas turut diagihkan kepada penduduk di beberapa PPR terlibat pada Ahad antaranya PPR Flat Sungai Baru, Perumahan Awam Seri Perlis 1 dan PPR Laksamana di Jalan Peel.

Menurutnya, setakat ini KPN telah memberi manfaat kepada 669,727 orang melibatkan sumbangan daripada 4,035 syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pihak yang mahu memberi sumbangan untuk program KPN boleh menghubungi Yayasan Kebajikan Negara dengan menelefon 03-83232424 atau 019-2938236. - Bernama

Artikel Berkaitan: