Remaja OKU 13 tahun korban baharu Covid-19

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM – Remaja perempuan kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun direkodkan sebagai salah seorang daripada 63 korban terbaharu akibat jangkitan Covid-19 di negara ini.

Menerusi data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Ahad, remaja berkenaan merupakan kes kematian ke 5,473 dan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Turut dicatatkan, remaja berkenaan mempunyai latar belakang penyakit Epilepsi (gangguan saraf otak).

“Sebanyak 63 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 25 kes di Selangor, 15 kes di Negeri Sembilan, 10 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing tiga (3) kes di Johor dan Kedah, masing-masing dua (2) kes di Pulau Pinang dan Pahang, serta masing-masing satu (1) kes di Sarawak, Terengganu dan Melaka.

“Jumlah ini menjadikan kes kematian (kumulatif) akibat Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 5,497,”katanya dalam kenyataan media perkembangan kes Covid-19 di Malaysia, pada Ahad.

Dalam pada itu, kes baharu jangkitan Covid-19 masih kekal pada angka 6,000 pada Ahad meskipun mencatatkan penurunan berbanding dua hari sebelum ini.

Beliau berkata, sebanyak 6,045 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan Selangor kes menjadi menyumbang kes paling tinggi iaitu 2,262 kes.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 778,652 kes.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga 4 Julai 2021 (jam 12:00 tengah hari) sebanyak 6,045 kes baharu Covid-19 dicatatkan termasuk 20 kes import.

“Sebanyak 917 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 443 kes memerlukan bantuan pernafasan. Manakala sebanyak 5,271 kes sembuh direkodkan pada hari ini,”katanya.

Dr Noor Hisham menambah, sebanyak 17 kluster baharu turut direkodkan menjadikan sebanyak 869 kluster aktif Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 terbaharu setakat 3 Julai pula adalah sebanyak 1.07 yang mana Negeri Pahang mencatatkan nilai Rt yang tertinggi (nilai RT 1.24).

“Manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.16), Melaka (1.12), Selangor (1.08), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.04), Pulau Pinang (1.02), dan Sabah (1.01),”katanya.