Empat kilang, 20 premis diarah tutup: Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) diwartakan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan sebanyak 151,773 premis perniagaan, kilang dan asrama pekerja yang sudah diperiksa dalam tempoh sejak 25 Jun sehingga 3 Julai.

"Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 89,136 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,625 orang.

"Pada Sabtu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 5,785 pemeriksaan ke atas kilang, 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja.

"Daripada jumlah itu, empat kilang dan 20 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP," katanya dalam kenyataan media mengenai Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Ahad.

Katanya, sehingga Sabtu, secara kumulatifnya sebanyak 151,773 premis peniagaan telah diperiksa, kilang (25,970), tapak pembinaan (1,847) dan asrama penempatan pekerja (812).

Dalam pada itu, katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 89,136 pemeriksaan pada Sabtu.

"Ia melibatkan 4,332 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,625 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Pada Sabtu, 691 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 651 individu dikompaun, 38 lagi direman manakala dua (2) lagi dijamin," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan direkodkan ialah rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum di premis (189), tiada penjarakan fizikal (133) dan tidak memakai pelitup muka (91).

Kesalahan lain, katanya, individu gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (78), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (63), membawa penumpang berlebihan (49), premis gagal patuhi arahan (21) dan aktiviti pusat hiburan (6) serta lain-lain(61).