X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Tidak salah UMNO berharap jawatan PM, tapi Anwar calon terbaik

Anwar dan Zahid
A
A

SHAH ALAM - Tidak salah untuk UMNO berharap agar salah seorang pemimpinnya diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya jajaran politik baharu berjaya dibentuk di antara parti terbesar kaum Melayu itu dengan Pakatan Harapan (PH) kelak.

Bagaimanapun, Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Johari Abdul menegaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dianggap calon terbaik untuk diperkenankan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau, hal ini kerana dalam konteks Perlembagaan Persekutuan sudah jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong hanya akan melantik Perdana Menteri daripada kalangan ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen lain.

"Pada saat ini, Anwar sudah jelas memiliki sokongan lebih 90 ahli Parlimen yang membentuk PH berbanding UMNO yang sekadar memiliki bilangan 38 kerusi.

"Sudah tentu, kalau dilihat dari segi jumlah kerusi Parlimen, Presiden PKR itu memiliki kelebihan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu oleh Seri Paduka Baginda berbanding yang lain.

"Namun, sebagai sebuah parti besar dan senior, tidak salah untuk pemimpin mereka turut berharap untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) runtuh," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar pada Sabtu, mendedahkan kenyataan sumber Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mendakwa parti itu akan kembali menjadi PM dalam jajaran politik baharu kelak.

Bagaimanapun, sumber itu menambah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menjelaskan parti-parti yang akan terlibat dalam jajaran baharu itu.

Krisis UMNO menjadi perhatian umum ketika ini susulan tindakan pucuk kepimpinan parti itu memanggil ahli Parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Johari
Johari

Menurut sumber parti, lebih 10 ahli Parlimen yang juga ahli MKT UMNO dipanggil menemui Ahmad Zahid yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat UMNO.

Susulan itu, 35 Ahli Parlimen UMNO mengadakan pertemuan di sebuah banglo di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada Jumaat malam dan bersetuju mempertahankan resolusi yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) pada Mac lalu.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menegaskan kesemua 35 Ahli Parlimen itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menegaskan UMNO perlu menarik diri daripada PN disebabkan parti itu akan semakin mengecil, hilang kedudukan dalam politik negara dan akhirnya 'mati' jika terus bersama koalisi diterajui musuh ketat UMNO sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Sekiranya ketiga-tiga parti Melayu dalam PN duduk berbincang untuk berbahagi kawasan Melayu yang hanya ada lebih kurang 90 kerusi, bermakna setiap parti memperoleh 30 kerusi.

"Itu pun kalau Muhyiddin hendak bagi 30 kerusi. Kalau beliau hendak bagi kepada UMNO setakat 12 atau 13 kerusi, pasti UMNO akan 'mati'.

"Tetapi jika UMNO bersama Anwar dan PH, sudah tentu kawasan Melayu akan dikuasai UMNO manakala parti lain bertanding kawasan campuran. Jadi, UMNO akan terus 'hidup'," katanya.

Ditanya sama ada ahli-ahli Parlimen UMNO akan bersetuju dengan arahan parti sekiranya diarah tarik sokongan daripada kerajaan PN, Johari berkeyakinan ketetapan itu akan dipatuhi mereka.

Jelas beliau, sudah menjadi amalan demokrasi di negara ini, apabila sesebuah parti atau ketua whip parti membuat satu keputusan penting, arahan itu akan dipatuhi semua ahli Parlimen mereka.

"Ahli-ahli Parlimen UMNO mungkin ketika ini rasa bimbang untuk tarik sokongan...takut mereka hilang jawatan menteri yang bergaji hingga RM100,000 sebulan.

"Tetapi kalau parti sudah buat keputusan, takkan mereka mahu tentang...kecuali mereka mahu keluar parti. Ini kerana watikah pencalonan mereka untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) terletak di tangan Presiden parti," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!