Dua termasuk anggota polis maut gara-gara 'u-turn'

PDRM
PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat sarjan maut dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Peringat-Pasir Puteh dekat sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, kemalangan pada jam 1 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi seorang lelaki berusia 32 tahun membuat pusingan U secara tiba-tiba.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan anggota polis terbabit, Zulkifli Abdul Rahman, 58, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh, tidak sempat mengelak lalu berlaku pelanggaran.

"Anggota terbabit (Zulkifli) baru sahaja selesai tugasannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas,” katanya yang dihubungi Bernama pada Ahad.

Abdullah berkata, Zulkifli dan lelaki berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka, dada dan beberapa anggota badan.

"Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: