Alumni UMK 'tauke' nanas MD2 tuai tujuh tan semusim

Wan Lokman sentiasa komited dalam apa sahaja usaha yang dilakukan untuk memajukan pertaniannya.
Wan Lokman sentiasa komited dalam apa sahaja usaha yang dilakukan untuk memajukan pertaniannya.
A
A
A

KUALA KRAI – Percubaan secara ‘suka-suka’ menanam nanas di ladang seluas 4 hektar akhirnya membuahkan hasil yang lumayan buat seorang pemuda yang berasal dari Kampung Chuchuh Puteri, Kuala Krai, di sini.

Alumni Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dari Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA), Wan Lokman Wan Haron, 33, memberitahu, selepas tiga tahun berpanas dan bermain lumpur, akhirnya ladang nanas yang diusahakan mampu menghasilkan sekitar tujuh tan nanas semusim.

“Ia dijual pada harga borong tempatan iaitu RM2.50 sekilogram untuk nanas madu kaca manakala nanas varieti MD2 pula dijual pada harga RM4 sekilogram.

“Bagi jualan secara runcit pula, harga sekilogram nanas madu kaca sekitar RM3.50 hingga RM5 dan nanas MD2 mencecah harga RM5 hingga RM8 bergantung kepada pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, nanas MD2 antara yang menjadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang manis, lebih berjus dan serat yang bagus untuk kesihatan.

Wan Lokman bersama nanas yang ditanamnya di Kampung Chuchuh Puteri, Kuala Krai di sini.
Wan Lokman bersama nanas yang ditanamnya di Kampung Chuchuh Puteri, Kuala Krai di sini.

Beliau bersyukur, sejak mengusahakan tanah pertanian terbiar dengan tanaman nanas pada tahun 2018, usaha gigihnya mendapat sokongan padu daripada keluarga.

Malah, dengan modal sekitar RM30,000 melalui wang simpanan keluarga, pemuda tersebut memulakan projek tanaman nanas tanpa memohon bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengusahakan kawasan tanaman secara berperingkat dengan permulaan modal kecil dan memperoleh anak benih nanas yang dibeli di pasaran. Saya guna pengalaman dan ilmu di UMK untuk bantu saya menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan.

“Saya juga amat mementingkan hasil pengeluaran tanaman yang berkualiti bagi menjamin pelanggan atau pemborong sentiasa berpuas hati,” katanya.

Beliau turut menaruh harapan tinggi untuk menjadikan kawasan Kampung Chuchuh Puteri antara lokasi pengeluaran nanas premium di Kuala Krai sekiranya kawasan ini terus dimajukan dengan tanaman nanas secara komersial, selain terkenal dengan buah durian.