Orang asli tidak sabar terima vaksin

Saarani (dua dari kanan) dan Ahmad Faizal (dua dari kiri) bersama masyarakat Orang Asli yang sudah menerima vaksin pada Program Outreach Vaksinasi Penduduk Orang Asli di Kampung Chadak, Hulu Kinta.
Saarani (dua dari kanan) dan Ahmad Faizal (dua dari kiri) bersama masyarakat Orang Asli yang sudah menerima vaksin pada Program Outreach Vaksinasi Penduduk Orang Asli di Kampung Chadak, Hulu Kinta.
A
A
A

TAMBUN - Masyarakat orang asli di enam perkampungan dalam Parlimen Tambun tidak sabar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 setelah menyedari pentingnya vaksinasi itu dalam kalangan mereka.

Lebih 100 orang asli dari Kampung Chadak, Kampung Makmur, Kampung Suluh, Sungai Choh dan Kampung Tonggang menerima suntikan vaksin menerusi program jangkauan komuniti atau 'outreach' yang dilaksanakan di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, meskipun ada sebahagian penduduk yang masih belum yakin, namun kehadiran yang menggalakkan pada program itu merupakan suatu petanda baik.

"Kita mendapati program outreach pertama yang dibuat pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di perkampungan orang asli di dalam Parlimen Tambun mendapat sambutan baik.

"Seramai 100 penerima tetapi yang hadir lebih 100 orang. Apabila mendekati mereka rupanya mereka tidak sabar untuk divaksin dan ini petanda baik bahawa masyarakat sedia untuk divaksin sekali gus menyemarakkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," katanya ketika ditemui media pada Program Outreach Vaksinasi Penduduk Orang Asli di Kampung Chadak, Hulu Kinta di sini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berharap program tersebut akan menjadi pencetus kepada masyarakat orang asli lain untuk mendaftar menerima vaksin dalam aplikasi MySejahtera dan sebagainya.

"Hari ini kita dapati tiada yang menolak (terima vaksin), mungkin ada yang masih di rumah belum ada keyakinan.

Artikel Berkaitan:

"Melihat 100 penduduk selamat menerima vaksin hari ini diharapkan mereka lebih yakin dengan program ini sekali gus semua akan turut mendaftar," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Sungai Choh, Adi Usop berkata, beliau akan menguar-uarkan mengenai kebaikan pengambilan vaksin kepada penduduk yang layak menerima.

"Masih ada dalam kalangan anak buah yang takut mengisi borang daftar yang diberikan Jakoa. Kebanyakan mereka berasa bimbang jadi, saya keluar dahulu untuk terima suntikan.

"Setakat ini, saya tidak berasa apa-apa pun, macam biasa sahaja seperti terima suntikan di klinik. Saya boleh menjadi contoh kepada anak buah dan nasihatkan mereka supaya tidak dengar cakap-cakap (negatif) dari orang lain," katanya.