Ingkar SOP, 20 individu dikompaun RM2,000

Pemeriksaan oleh anggota dan pegawai yang terlibat dalam Op Patuh di Lipis pada Jumaat lalu. - Foto ihsan PDRM
Pemeriksaan oleh anggota dan pegawai yang terlibat dalam Op Patuh di Lipis pada Jumaat lalu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seramai 20 individu di daerah ini dikompaun RM2,000 seorang selepas ingkar prosedur operasi standard (SOP) menerusi Op Patuh pada Jumaat lalu atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, sepanjang operasi, terdapat segelintir pelanggan atau pekerja yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antara kesalahan yang dilakukan oleh individu-individu terbabit adalah tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas kod menerusi aplikasi MySejahtera atau tidak mendaftar di dalam buku yang disediakan.

"Selain itu, mereka juga tidak melakukan penjarakan fizikal antara pekerja dan nama pekerja tiada dalam senarai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Menurut beliau, dua premis juga dikompaun oleh Majlis Daerah Lipis (MDL) atas kesalahan tidak memiliki lesen perniagaan dan lesen penjaja.

"Sebanyak 17 premis atau kilang dan 95 individu diperiksa dalam operasi yang disertai 13 pegawai dan 46 anggota membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, MDL, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela.

Antara kawasan yang diperiksa pada operasi tersebut termasuklah Benta, Padang Tengku, tapak pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) di Simpang Gua dan Kampung Selindang serta beberapa premis di Chegar Perah.

Artikel Berkaitan: