Pesawad buka pusat bantuan asnaf

Khalid (kanan) menunjukkan sebahagian barangan keperluan dapur yang disediakan untuk golongan yang benar-benar terputus bekalan makanan di rumah.
Khalid (kanan) menunjukkan sebahagian barangan keperluan dapur yang disediakan untuk golongan yang benar-benar terputus bekalan makanan di rumah.
A
A
A

MELAKA - Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad) yang beroperasi di KM5.6, Kampung Duyong di sini, membuka pusat bantuan golongan memerlukan dengan pelbagai barangan keperluan dapur secara percuma.

Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin berkata, buat permulaan pihaknya menyediakan barangan dapur seperti beras kampit 5kg, tepung, gula, sardin, susu kicap dan sebagainya.

Menurutnya, kesemua barangan tersebut diletakkan di dalam stor yang dibuka mulai hari ini di Galeri Inap Desa Warisan, Duyong di sini.

"Orang ramai yang benar-benar terputus bekalan makanan di rumah, jangan malu, datanglah ke pusat bantuan Pesawad.

"Semua barangan ini dibeli secara pukal oleh Pesawad hasil sumbangan peribadi ahli persatuan dan kutipan tabung untuk membantu mereka yang tidak mampu," katanya selepas majlis ramah mesra bersama ahli Kelab Media Massa Melaka di Galeri Inap Desa Warisan di Duyong di sini.

Khalid berkata, Pesawad yang ditubuhkan sejak 2010 adalah pertubuhan bukan kerajaan bertujuan menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai sejarah dan warisan Melaka.

"Tujuan kaunter bantuan itu diwujudkan adalah memberi sumbangan percuma barangan dapur kepada golongan asnaf atau yang tidak mampu.

"Kita tidak hadkan barangan yang ingin diambil tetapi apa yang kita pentingkan adalah kejujuran, jika boleh dan sekiranya mendapat sambutan, kaunter ini akan dibuka 24 jam tanpa pengawasan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai langkah permulaan kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang bagi mengenal pasti individu yang mengambil barangan dapur hanya untuk kegunaan sendiri.

Mereka yang memerlukan dan ingin mendapatkan barangan dapur percuma itu boleh datang ke Galeri Inap Desa Warisan Duyong atau menghubungi talian 06-2688854.