X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beradik yatim piatu akibat Covid-19

Mohammad Syahmil dan Nurhaniesya menunjukkan gambar Allahyarham ibu bapanya.
A
A

JEMPOL- Dua beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapanya pergi buat selama-lamanya dalam tempoh tidak sampai dua minggu akibat wabak Covid-19 bulan lalu.

Situasi itu terpaksa dilalui Nurhaniesya Sabiha berusia lapan tahun dan abangnya Mohammad Syahmil, 12 yang kini tinggal bersama nenek mereka, Salmah Abdol, 69 tahun di Felda Palong 7.

Ibu mereka Hazliza Hassan, 38 tahun meninggal dunia pada 14 Jun lalu di Hospital Jempol manakala bapanya Sabiha Ibrahim, 38 tahun meninggal pada 25 Jun di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Menurut Salmah, dia tidak menyangka kedua-dua cucunya itu kehilangan kedua-duanya dalam tempoh yang singkat.

"Anak dan menantu saya itu mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang selain menantu menghidap penyakit asma.

"Pada mulanya anak saya Hazliza sudah beberapa kali berulang-alik ke Hospital Jempol kerana masalah kandungan yang dihadapi namun beberapa hari selepas pulang ke rumah dia mengalami sesak nafas, " katanya ketika ditemui media di kediamannya di sini pada Ahad.

Hazliza dan Sabiha.
Hazliza dan Sabiha.

Menceritakan lebih lanjut, Salmah berkata, anaknya itu kemudiannya dihantar semula ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya akibat Covid-19.

"Empat ahli keluarga iaitu saya bersama menantu dan dua cucu diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum disahkan positif wabak itu dan kemudiannya dibawa ke Pusat Kuarantin Covid-19 (PKRC) Kuala Pilah.

"Bagaimana pun, kesihatan menantu saya semakin merosot dan dia dibawa semula ke Hospital Jempol sebelum dipindahkan ke HTAN. Dia terpaksa ditidurkan namun meninggal dunia tiga hari selepas itu," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Syahmil berkata, dia masih terngiang-ngiang pesanan terakhir bapanya ketika bercakap menerusi telefon sebelum bapanya itu ditidurkan.

"Papa pesan jaga adik dan opah elok-elok sekiranya kami rindu dekat mama dan papa, kami akan hadiahkan Al-Fatihah selain tatap gambar dan peluk baju arwah," katanya ringkas.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan Hazliza di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 7&8 manakala Sabiha di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 1.

Dua beradik menjadi yatim piatu selepas kedua orang tuanya meninggal dunia akibat wabak.
Dua beradik menjadi yatim piatu selepas kedua orang tuanya meninggal dunia akibat wabak.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!