X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Vaksin: Utamakan sektor perdagangan, pengedaran dan peruncitan

Keutamaan imunisasi Covid-19 perlu diberikan kepada pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan kerana kepentingannya sebagai enjin ekonomi negara. - Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Keutamaan imunisasi Covid-19 perlu diberikan kepada pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan kerana kepentingannya sebagai enjin ekonomi negara serta risiko yang dihadapi tenaga kerjanya yang sentiasa berinteraksi dan menyiapkan logistik untuk pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut beliau, risiko jangkitan yang dihadapi tenaga kerja sektor berkenaan pada setiap hari adalah sangat serius dan boleh membantutkan usaha kerajaan untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang dikehendaki bagi memacu kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, oleh itu, sektor-sektor berkenaan harus diberi perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagaimana sektor lain seperti perkilangan dan pembinaan.

“Kementerian berpendapat adalah tidak adil bagi mereka yang terlibat dalam sektor ini untuk menunggu lebih lama program vaksinasi yang dikhaskan buat mereka,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau yang turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bahawa tubuh mula membina imunisasi selepas dua hingga tiga minggu menerima vaksin, mencadangkan pemvaksinan terhadap pemain sektor-sektor berkenaan dilakukan bulan ini sebagai persiapan pembukaan semula pelbagai sektor hadapan ekonomi dalam fasa PPN selanjutnya.

Katanya, dalam sesi libat urus yang disertai bersama Timbalannya, Datuk Rosol Wahid, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, pegawai kanan KPDNHEP serta 90 wakil pelbagai subsektor peruncitan baru-baru ini, pemain industri bersetuju keutamaan perlu diberikan kepada barisan hadapan sektor berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan data dan statistik daripada KKM, hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan kluster melibatkan sektor perdagangan domestik, manakala tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor berkenaan pula ialah 98.54 peratus.

Nanta berkata, sektor peruncitan sebagai antara perkhidmatan perlu, beroperasi setiap hari sepanjang fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan dalam PPN demi memastikan orang ramai boleh mendapatkan bekalan makanan dan minuman seperti biasa tanpa perlu melakukan pembelian panik dan berlebihan.

"Walaupun kluster Covid-19 yang wujud daripada sektor peruncitan adalah rendah, pekerja sektor peruncitan khususnya pasar raya berhadapan risiko yang tinggi kerana sentiasa bersemuka dengan pelbagai kategori pengguna," katanya.

Menurutnya, terdapat 1,162 pekerja daripada 59 pasar raya telah dijangkiti Covid-19 yang menyebabkan operasi pasar raya tersebut terpaksa ditutup dan hingga hari ini terdapat tujuh cawangan pasar raya masih ditutup kerana kebanyakan pekerja perlu menjalani proses kuarantin.

Nanta berkata, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan membuka semula perniagaan domestik bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan juga kehidupan pekerja-pekerja yang mencari pendapatan melalui sektor berkenaan terbela.

"Sektor perdagangan dalam negeri juga memainkan peranan yang penting sebagai penggerak ekonomi domestik sekali gus memastikan kesejahteraan golongan B40 dan M40 terbela.

"Hakikatnya, ramai pihak yang terlibat, baik secara langsung ataupun tidak langsung di dalam sektor perdagangan domestik dan peruncitan ini," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!