Abdul Hadi turun Semenyih atau tidak?

Abdul Hadi Awang - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Abdul Hadi Awang - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - Dalam kempen PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat ikut sama berkempen di sana membantu calon BN.

Begitupun, lebih seminggu kempen berjalan di PRK DUN Semenyih, kelibat Ahli Parlimen Marang itu masih belum kelihatan.

Jika beliau datang secara sembunyi-sembunyi, mungkin khilaf penulis kerana tidak menerima maklumatnya namun sehingga semalam, tidak pula penulis mendengar rakan media lain membuat liputan pemimpin Pas itu.

Kalau kunjungan beliau dihebahkan kepada media, pasti penulis akan memasukkannya dalam jadual bekerja ‘Skuad Sinar Harian PRK DUN Semenyih’ dengan catitan “WAJIB Pergi”.

Malam semalam, anaknya yang juga Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berceramah di Taman Kantan Permai, Kajang dan kesempatan itu digunakan sebaiknya bertanyakan kehadiran Abdul Hadi ke Semenyih.

“Ustaz, bila agaknya Datuk Seri Abdul Hadi akan turun ke Semenyih?” soal rakan penulis.

“Itu kena tanya Setpol (Setiausaha Politik) dia,” jawab beliau ringkas.

Hari ini pula, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan memberitahu beliau akan sepentas bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 28 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah dijadualkan bersama dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahin Tuan Man pada 28 Februari nanti jika tak salah saya.

“Tempatnya masih belum diketahui lagi,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke rumah penduduk di Kampung Sungai Jai, di sini, petang semalam.

Tidak dapat dipastikan mengapa nama Abdul Hadi tidak disebut sedangkan kedua-dua pemimpin besar itu berceramah sepentas dalam kempen PRK Parlimen Cameron Highlands.

Bagi media, kehadiran Abdul Hadi sangat dinantikan bukan hanya kerana kata-katanya berbisa, berpotensi diangkat menjadi berita utama, menghiasi muka depan akhbar namun kerana sebab lain.

Kehadiran beliau sebenarnya membuktikan sokongan Pas kepada BN berada pada tahap tertinggi.

Benar, ramai pemimpin Pas ikut sama berkempen membantu BN di Semenyih namun aura Presiden Pas tetap diperlukan jika benar BN mahu merampas kembali DUN Semenyih dari PH.

Bahkan, mungkin tak salah untuk mengatakan sebenarnya rakyat Semenyih juga menantikan kedatangan beliau. Media? Sudah pasti!

Hari ini 25 Februari, ada beberapa hari lagi sebelum hari mengundi. Adakah beliau akan turun ke Semenyih?

Hanya masa akan menentukan...