Pencapaian Republik Czech di Euro boleh dibanggakan

Reaksi pemain Republik Czech Vladimir Coufal selepas kalah kepada Denmark. -Foto EPA
Reaksi pemain Republik Czech Vladimir Coufal selepas kalah kepada Denmark. -Foto EPA
A
A
A

BIARPUN gagal mara ke separuh akhir setelah tewas 1-2 kepada Denmark pada Ahad, skuad Republik Czech tetap boleh berbangga dengan pencapaian mereka pada Euro 2020.

Menurut pengendali Republik Czech, Jaroslav Silhavvy, skuad kendaliannya itu telah membuktikan kewibawaan mereka dengan mara ke suku akhir dan mengulangi aksi suku akhir berdepan Denmark pada edisi 2004 lalu.

“Pada Euro 2004, kami menewaskan Denmark 3-0 pada suku akhir sebelum tewas 0-1 kepada Greece di peringkat separuh akhir.

“Tetapi kekalahan di suku akhir kali ini benar-benar membuatkan kami kecewa sehingga ada segelintir pemain yang menitiskan air mata kerana terlalu kecewa.

“Secara keseluruhannya, ia (Euro 2020), bukan sesuatu yang mudah, tetapi rasanya kami telah pun mencapai ‘sesuatu’ yang boleh dibanggakan kali ini,” katanya.

Pada aksi suku akhir di Stadium Olimpik Baku pada Ahad, gol seawal minit kelima daripada pemain Denmark, Thomas Delaney dan Kasper Dolberg (min-42) sudah cukup memadai buat skuad The Danish Dynamite itu mara ke separuh akhir.

Walaupun, penyerang Republik Czech, Patrick Shick berjaya merapatkan jurang pada minit ke-49, namun ia dilihat masih belum cukup memadai untuk skuad The Locomotive itu untuk bangkit pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu Silhavy berkata, dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pemain atas kekalahan berkenaan dan menyifatkan keputusan perlawanan mungkin berubah sekiranya pengadil perlawanan membuat keputusan dengan tepat.

Artikel Berkaitan:

“Saya sebenarnya tidak mahu bercakap mengenainya, tetapi ia perlu disuarakan kerana ia telah memberikan kesan kepada keseluruhan perlawanan.

“Banyak keputusan salah dibuat oleh pengadil perlawanan kali ini, tetapi ia pasti tidak mungkin untuk diubah lagi.

“Apa pun, kami tetap gembira kerana meninggalkan kejohanan kali ini dengan ‘kejayaan’ dan berharap ia mampu dijadikan pengajaran untuk mengharungi edisi Euro seterusnya kelak,” katanya.