Selangor gagal bendung penularan Covid-19

Kempen bantuan bakul makanan PKP 3.0 digerakkan MCA Selayang untuk membantu penduduk terjejas di Parlimen tersebut.
Gambar kecil: Wun Hoong
Kempen bantuan bakul makanan PKP 3.0 digerakkan MCA Selayang untuk membantu penduduk terjejas di Parlimen tersebut. Gambar kecil: Wun Hoong
A
A
A

SELAYANG - Kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai perancangan dan strategi yang baik dalam mengawal penularan Covid-19 menyebabkan negeri itu mencatatkan kes harian tertinggi dalam negara.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Selayang, Chan Wun Hoong berkata, langkah-langkah pencegahan wabak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak dilaksanakan secara efektif.

"Ini telah mengakibatkan rakyat Selangor hidup dalam keadaan yang semakin teruk dan mencabar serta berada dalam situasi yang amat membimbangkan.

"Disebabkan itu, BN (Barisan Nasional) dan MCA Bahagian Selayang telah menyediakan peruntukan awalan RM10,000 untuk Kempen Bantuan Bakul Makanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Parlimen Selayang untuk saling membantu dan mengatasi kesukaran bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut menggesa Ahli Parlimen Selayang, William Leong untuk menggunakan peruntukan khas bakul makanan RM300,000 yang diperuntukkan oleh kerajaan Pusat baru-baru ini dengan kadar segera diagihkan tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Sementara itu, penyelaras Kempen Bantuan Bakul Makanan PKP 3.0, Felix Wan Tai Tong berkata, keluarga atau individu di Selayang yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh membuat pendaftaran di pautan https://forms.gle/v8AnoTaH2A4uPLna6 atau menghubunginya di talian 011-2372 6763.

"Pasukan kami akan menyediakan bakul makanan dan hantar ke rumah pemohon secepat mungkin setelah menerima maklumat yang lengkap.

"Pihak yang berhasrat untuk menyumbang bakul makanan atau menderma dana dalam kempen ini juga dialu-alukan, mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya atau menyumbang secara terus ke akaun 3145 499 228 (Public Bank)," katanya.

Artikel Berkaitan: