Op Patuh: Polis Kelantan keluar 27 kompaun

Setiausaha Agung KEMUDI, Siti Fatihah Awang (kanan) menyampaikan sumbangan tersebut kepada Abdullah (tengah) di SJR Jalan Hamzah.
Setiausaha Agung KEMUDI, Siti Fatihah Awang (kanan) menyampaikan sumbangan tersebut kepada Abdullah (tengah) di SJR Jalan Hamzah.
A
A
A

KOTA BHARU – Polis Kelantan mengeluarkan 27 kompaun melalui Op Patuh di seluruh negeri yang dilaksanakan sejak 2 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebanyak 1,609 premis perniagaan di negeri diperiksa sejak Jumaat dan kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, Op Patuh turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebanyak 223 kilang diperiksa dan 19 kompaun dikeluarkan atas kesalahan antaranya tidak menyediakan cecair pencuci tangan dan kod bar MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

"Antara daerah terlibat ialah Tumpat, Pasir Puteh, Gua Musang dan Kuala Krai,” kataya kepada pemberita di sini.

Beliau meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Hamzah di sini dan turut menerima sumbangan makanan daripada Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) untuk disampaikan kepada petugas di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya hanya mengeluarkan kompaun manakala tindakan lanjut berdasarkan keputusan muktamad daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Menurutnya, mereka yang didapati bersalah boleh mengemukakan permohonan dan akan diberikan diskaun sehingga 50 peratus terutama golongan B40.

Artikel Berkaitan:

“Operasi ini akan diteruskan sepanjang penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),”katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai peralihan persediaan Kelantan untuk ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Abdullah berkata, 44 SJR yang dibuka masih diteruskan memandangkan pergerakan rentas negeri dan daerah masih tidak dibenarkan.