'Parkir percuma bukan berita gembira, menteri perlu beri solusi lain'

Prabakaran (kanan) meninjau pelaksanaan PKPD di bawah parlimennya pada Sabtu.
Prabakaran (kanan) meninjau pelaksanaan PKPD di bawah parlimennya pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan tempat letak kereta bahu jalan percuma di Kuala Lumpur seperti diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini dianggap tempang atau remeh.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran yang menyambut baik keputusan itu bagaimanapun berkata, perkara itu tidak menggembirakan rakyat yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 malah ada yang sedang mengibarkan bendera putih akibat kekurangan makanan.

Prabakaran mencadangkan menteri itu perlu memberikan solusi yang jelas melalui beberapa syor untuk membantu rakyat.

"Antaranya pengecualian sewa atau kelonggaran bayaran sewa ke atas premis dan perumahan rakyat di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Premis perniagaan di bawah pengawasan KWP atau agensinya diberikan diskaun sebanyak 50 peratus sehingga ekonomi negara pulih sepenuhnya.

"Selain itu, semua warga Wilayah Persekutuan yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau ‘total lockdown’ diberikan insentif bantuan khas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Annuar menerusi ciapan di Twitter Khamis lalu mengumumkan semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) percuma berkuat kuasa Jumaat lalu sehingga 31 Ogos depan.

Annuar berkata, inisiatif tersebut membantu penjimatan kepada pengguna dan wang tersebut dapat digunakan untuk membeli barang keperluan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Prabakaran mendakwa empat lokaliti yang dikenakan PKPD di kawasannya belum menerima sebarang bantuan daripada agensi kerajaan.

"Kawasan ini juga di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan, dimanakah kenyataan media Menteri Wilayah mengenai isu ini?

"Adakah Menteri Wilayah merasakan bahawa ahli Parlimen yang menerima dana kerajaan sebanyak RM300,000 untuk menyelesaikan semua masalah ini?," soalnya.

Jelasnya, RM300,000 yang diberikan itu hanya boleh membantu 3,000 orang di Parlimen mereka.

"Parlimen Batu mempunyai lebih 76,000 pengundi yang berdaftar dan majoriti penduduk merupakan kategori B40 dan jumlah itu hanya mampu membantu 3.8 daripada mereka.

"Dana itu sangat sedikit bagi ahli Parlimen untuk menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing, lebih-lebih lagi untuk menyelesaikan masalah rakyat semasa pandemik Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Parkir percuma di bahu jalan Kuala Lumpur mulai esok