'Syukur ada tempat berteduh'

Noh (dua dari kanan) menyerahkan surat tawaran bina rumah baharu PUNB kepada Hashim (tiga dari kiri) di Kampung Batu 9 1/2 pada Ahad.
Noh (dua dari kanan) menyerahkan surat tawaran bina rumah baharu PUNB kepada Hashim (tiga dari kiri) di Kampung Batu 9 1/2 pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Pasangan suami isteri dan 11 anak serta cucu yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Batu 9 1/2 musnah dalam kebakaran bakal menerima rumah baharu hasil bantuan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bernilai RM35,000.

Salamiah Hassan, 60, berkata, mereka sekeluarga gembira dan bersyukur apabila rumah itu akan dibina tidak lama lagi.

"Walaupun kami tak sempat berpindah ke rumah baharu untuk menyambut Hari Raya Aidiladha ini tetapi sekurang-kurangnya kami ada tempat untuk berteduh," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Salamiah berkata, mereka sekeluarga sebelum ini menumpang di rumah seorang anaknya yang tinggal bersebelahan.

Katanya, mereka sekeluarga amat berterima kasih kepada Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Noh Omar yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang atas keprihatinan bagi membantu menyediakan pembinaan rumah baharu.

"Jasa dan budi baik Tan Sri Noh akan kami kenang selamanya apatah lagi beliau tidak putus memberikan pelbagai sumbangan dan kerap menziarahi kami selepas ditimpa musibah," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, beliau telah menyerahkan surat tawaran membina rumah di bawah Program Bina Semula Rumah PUNB.

"Saya berharap keluarga ini dapat tinggal di rumah lebih selesa bagi menggantikan rumah mereka yang terbabit dalam kejadian kebakaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 11 Jun melaporkan, ketika kebakaran kebakaran, Salamiah tiada di rumah kerana mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Gombak manakala suaminya, Hashim Yaccob, 69, pula ke Pekan Tanjong Karang.

Anak perempuan mereka, Siti Nur Haziqah Hashim, 22, yang hamil enam bulan berputih mata apabila semua kelengkapan barangan bayi yang baru dibeli musnah dalam kebakaran jam 12.45 tengah hari itu.