Segera baik pulih rumah mangsa ribut

Noh (dua dari kanan) melawat salah sebuah rumah penduduk dilanda ribut di Parlimen Tanjong Karang pada Jumaat.
Noh (dua dari kanan) melawat salah sebuah rumah penduduk dilanda ribut di Parlimen Tanjong Karang pada Jumaat.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerja baik pulih 14 rumah penduduk di Blok P Sawah Sempadan dan Kampung Sungai Yu yang rosak akibat ribut akan dilakukan segera bagi memastikan penduduk lebih selamat dan selesa.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kerja baik pulih itu akan diuruskan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) secara gotong-royong.

Menurutnya, beliau yang melawat rumah mangsa ribut bersimpati dengan nasib menimpa penduduk terutama dalam tempoh sukar berikutan rakyat dihimpit situasi pandemik Covid-19.

"Saya sempat bertanya mangsa ribut mengenai keadaan rumah mereka yang terjejas selain mengingatkan kepentingan SOP (prosedur operasi standard) dalam urusan harian," katanya dalam status di Facebook beliau pada malam Sabtu.

Justeru beliau berharap bantuan baik pulih itu melegakan penduduk terlibat.

"Saya tidak mahu menafikan hak mereka untuk hidup dalam keadaan selesa," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, sebanyak 14 rumah penduduk Blok P Sawah Sempadan dan Kampung Sungai Yu mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat dilanda ribut pada Jumaat.

Artikel Berkaitan: