'Tetap sumbang tabung masjid walau hidup susah'

Md Fakarudin (kanan) menyerahkan sepapan telur kepada penduduk warga asing.
Md Fakarudin (kanan) menyerahkan sepapan telur kepada penduduk warga asing.
A
A
A

NILAI - Walaupun kehidupan mereka turut terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), warga asing beragama Islam yang tinggal di Flat Taman Semarak di sini terus konsisten menyumbang ke dalam tabung Masjid Al Azim Taman Semarak.

Perkara itu dikongsi oleh pengerusi masjid berkenaan, Md Fakarudin Ab Rahman yang berpendapat amalan ahli kariah warga asing beragama Islam itu wajar dijadikan contoh dan dipuji.

"Di Flat Taman Semarak ini, sebanyak 18 blok dihuni oleh warga asing dan saya boleh katakan jemaah masjid kita ramainya daripada mereka.

"Saya difahamkan yang mereka juga hidup susah sekarang kerana apabila kilang ditutup, mereka tidak dapat bekerja dan ada juga yang dipotong gaji," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, apa yang membanggakan adalah mereka tidak lokek untuk bersedekah walaupun mereka sendiri dalam kesusahan.

Md Fakarudin berkata, ia terbukti apabila kutipan tabung masjid itu mencecah RM3,200 seminggu walaupun jumlah jemaah yang dibenarkan solat di masjid sekarang hanya 12 orang.

"Sekarang ini kita buat konsep tabung infaq masjid secara pandu lalu dan apa yang saya perhatikan kebanyakan mereka akan sedekah ke dalam tabung masjid bila nak pergi kerja.

"Sehubungan itu kita buat program satu rumah sepapan telur khusus buat warga asing pada semalam (Jumaat) dan ada daripada mereka masih sempat masukkan duit ke dalam tabung masjid. Saya betul-betul terharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, dalam kita membantu masyarakat di sekeliling yang terjejas, jangan dilupa akan warga asing yang turut mengalami nasib sama.

"Memandangkan mereka ini ramai, jadi sebagai permulaan kita bagi sepapan telur dan selepas ini kita akan teruskan dengan sumbangan barang makanan lain bergantung kepada duit tabung yang ada," katanya.

Sementara itu katanya, sejak pelaksanaan PKP 3.0, masjid berkenaan telah menghabiskan hampir RM50,000 untuk membantu penduduk yang terjejas.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kepada mana-mana pihak untuk menyumbang kepada tabung masjid berkenaan sekali gus membolehkan ia disalurkan kepada mereka memerlukan.