Hilang sumber pendapatan, suami isteri pernah terfikir pinjam ah long

Siti Mariam (kiri) memberi ubat kepada suaminya Adi Futrizqi.
Siti Mariam (kiri) memberi ubat kepada suaminya Adi Futrizqi.
A
A
A

NILAI - Buntu memikirkan nasib hidup yang hilang sumber pendapatan, pasangan suami isteri yang tinggal di Flat Kos Rendah Nilai Perdana di sini pernah terfikir mahu meminjam wang daripada ah long.

Namun Siti Mariam Baharin, 44, dan suaminya, Adi Futrizqi Idris, 38, membatalkan hasrat itu selepas dinasihatkan adik mereka.

"Masa itu kami rasa sudah terdesak sangat dan buntu kerana kami memang tiada duit nak bayar sewa rumah, bil utiliti dan makan anak-anak.

"Suami saya beritahu dengan adik dia yang kemudian nasihatkan kami jangan terjebak ah long dan dia bantu kami memulakan berniaga burger sebagai sumber pendapatan," kata Siti Mariam ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Anak Jati Nilai, Mohd Shahril Hakimi Hamdan.

Namun, menurut Siti Mariam, disebabkan penyakit tukang belakang yang dihidapi suaminya menyerang kembali, gerai burger mereka lebih banyak ditutup.

Malah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kini turut menyebabkan perniagaan burgernya terjejas.

"Suami dulu kerja kilang, tapi telah diberhentikan sebelum PKP tahun lalu selepas dia ditahan di wad hospital selama dua minggu.

Artikel Berkaitan:

"Selepas tiga bulan buat pembedahan pada Oktober tahun lalu, sakit belakangnya menyerang kembali sehingga sekarang dan setiap hari perlu makan 10 jenis ubat," katanya.

Bercerita lanjut, Siti Mariam berkata, suaminya kini menunggu janji temu doktor pada September ini untuk mengetahui sama ada perlu melakukan pembedahan kedua atau tidak.

Selain itu katanya, dia ada cuba memohon kerja di sebuah restoran di Nilai, namun disebabkan PKP 3.0 pengambilan pekerja baharu dibatalkan.

"Sekarang ini saya ada cuba belajar berniaga secara dalam talian. Saya tak kisah jika ada yang boleh bantu beri kerja yang saya boleh buat dari rumah, asalkan ia boleh beri pendapatan.

"Suami ada dapat bantuan Baitulmal sebanyak RM500 sebulan. Tapi duit itu untuk beli barang dapur dan bayar segala bil," katanya.

Ujarnya, dia juga ada fibroid dan ketumbuhan pada ovari serta perlu membuat rawatan susulan namun hadapi masalah untuk berulang-alik ke hospital kerana ketiadaan wang.

Malah katanya, janji temu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada bulan lalu bagi urusan penyerahan dokumen permohonan bantuan juga tidak dapat dihadiri kerana masalah sama.

"Ini pun sudah dua bulan sewa rumah tertunggak. Tak tahu macam mana bulan seterusnya," katanya yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah.