Menangani kemarahan di media sosial

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

DALAM keadaan rakyat susah, tertekan dan hilang kebebasan akibat Covid-19, kritikan dan cemuhan keras, biadab serta tidak rasional adalah satu norma baharu yang perlu dihadapi oleh pemerintah mana-mana negara pun.

Sudah tentu tiada sesiapa lagi boleh disalahkan kecuali pemerintah kerana mereka yang berkuasa membuat polisi, peraturan dan menguruskan vaksinasi.

Kerajaan bukan sahaja diserang oleh pembangkang yang mahu menjatuhkan mereka, malah oleh rakan sekutu yang tidak mahu bersama menerima kritikan.

Di Twitter, banyak slogan mencemuh dan mencerca kerajaan menjadi tular. Slogan kasar dan gasar adalah perkara biasa di Twitter dan kebanyakan media sosial lain.

Antara yang paling kasar tentulah #KerajaanMembunuh yang turut dikongsi beberapa wakil rakyat dan personaliti politik pembangkang yang agak terkenal.

Tidak pasti siapa yang memulakan tanda pagar itu dan atas alasan apa. Namun, ia jelas bertujuan meningkatkan tahap kemarahan rakyat terhadap kerajaan tanpa justifikasi rasional.

Apa yang jelas tidak ada sebuah kerajaan pun mampu menghalang penularan Covid-19.

Bagi kebanyakan negara maju dan pesat membangun, kadar penularan serta jumlah jangkitan menjadi lebih tinggi berbanding negara-negara yang tertutup dan ekonomi kurang berkembang.

Artikel Berkaitan:

Semakin banyak pergerakan manusia, pembukaan sektor ekonomi dan sosial, maka semakin tinggi jumlah jangkitan.

Yang membezakan antara satu negara dengan satu negara yang lain adalah bagaimana kerajaan menguruskan penularan, memberi rawatan serta mengurangkan jumlah kematian.

Di Malaysia, sejak pandemik bermula sehingga hari ini, belum ada kes beribu orang tidak dapat dirawat kerana kelumpuhan fasiliti kesihatan.

Jika dibandingkan kadar kematian negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom atau negara-negara ASEAN yang mempunyai persamaan ekonomi dan populasi melebihi 20 juta orang, Malaysia ternyata mempunyai rekod sangat baik.

Kadar kematian berbanding jangkitan Covid-19 di Malaysia hanyalah 0.7 peratus berbanding United Kingdom (2.6 peratus), Jerman (2.5 peratus), AS (1.8 peratus) dan Perancis (1.9 peratus).

Di negara Asia, negara yang mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan lebih baik dari Malaysia juga mencatatkan kadar kematian lebih tinggi.

Jepun mencatatkan kadar kematian 1.8 peratus, Korea Selatan 1.3 peratus, manakala Thailand 0.8 peratus, Filipina 1.8 peratus dan Indonesia 2.7 peratus.

Kerajaan tidak mungkin dapat mengawal penularan sepenuhnya kerana ia memerlukan kerjasama orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga kontak.

Dengan jumlah lebih 30 juta penduduk, kerajaan hanya boleh membuat polisi dan SOP yang membantu mengurangkan kontak.

Cemerlang

Sebaliknya, peranan terbesar kerajaan adalah menyediakan kemudahan kesihatan bagi merawat pesakit covid-19 dan ia dilakukan dengan cemerlang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun, kemarahan rakyat di media sosial tidak harus dipandang sepi oleh kerajaan.

Sebahagiannya mempunyai alasan munasabah kerana ketika mereka disuruh berkurung, kerajaan membenarkan kilang yang menjadi punca peningkatan kes terus beroperasi.

Hal kluster kilang bukan baharu kerana pada penghujung November 2020, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan peningkatan kes di Selangor akibat kluster kilang.

Beberapa hari lalu, Menteri Besar Selangor memaklumkan 80 peratus kes Covid-19 di Selangor adalah dari sektor kilang dan 11 peratus lagi dari tapak pembinaan.

Sebahagian orang faham pengoperasian kilang-kilang penting kepada ekonomi negara, sumber barangan kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan serta sumber makanan rakyat.

Kilang-kilang juga mengeluarkan barangan yang membolehkan kerajaan mengenakan cukai keluaran, sekali gus menambah segera kantung kerajaan yang diperlukan bagi membantu rakyat.

Tetapi bukan semua rakyat faham. Malah, sebahagian lagi sudah tidak ambil peduli alasan kerajaan kerana menyampah dan tertekan.

Hanya masa mampu mengubat kemarahan itu.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)