X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan sampai ekonomi mati

A
A

PELAKSANAAN pelbagai variasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih setahun lalu telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan rakyat jelata.

Ekonomi negara menguncup atau dalam bahasa mudah, kecut manakala rakyat menderita kekurangan atau kehilangan sumber pendapatan.

Fasa terbaharu PKP yang bermula di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 3 Julai akan memburukkan lagi ekonomi kerana Selangor dan Kuala Lumpur adalah pusat kegiatan ekonomi utama negara serta mempunyai bilangan penduduk paling ramai serta kuasa membeli paling besar.

Selangor dan Kuala Lumpur yang membentuk Lembah Klang dianggarkan mempunyai penduduk lebih 7.6 juta atau bersamaan 23.75 peratus penduduk Malaysia seramai 32 juta orang.

Ia bermakna, bagi setiap 100 orang penduduk Malaysia, hampir 24 orang tinggal di Lembah Klang.

Sebagai pusat pengilangan dan perkhidmatan, ia menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau kira-kira RM263 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara.

Dengan bilangan penduduk yang ramai dan kegiatan ekonomi yang rancak, tidak hairanlah Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Lagi pun, Selangor adalah antara negeri paling banyak membuat saringan.

Kita ambil perangkaan pada 2 Julai dengan 6,982 kes baharu. Daripada jumlah itu, 2,907 kes adalah dari Selangor dan kebanyakannya adalah pekerja kilang yang hampir setiap masa disaring.

Jadi, adalah tidak adil menyalahkan Selangor dan Kuala Lumpur terhadap penularan Covid-19, apatah lagi setelah mengambil kira beratus ribu orang keluar masuk Lembah Klang setiap hari untuk mencari makan dan berurusan.

Tidak adil juga untuk mengenakan sekatan yang sama ke atas negeri-negeri yang rendah kadar jangkitannya.

Menjadi masalah kepada pengawalan Covid-19 adalah kaitannya dengan pergerakan.

Lagi banyak dan pantas manusia bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, lagi cepatlah penularannya.

Sedangkan dalam ekonomi, pergerakan adalah ciri penting. Tanpa pergerakan manusia dan barang-barang, ekonomi akan lumpuh.

Agensi ekonomi dan kewangan antarabangsa telah meramalkan pemulihan ekonomi akan terencat akibat fasa baharu PKP.

Sebab itulah perimbangan antara keperluan mengawal wabak dan menjana ekonomi amat penting.

Kita boleh menutup kilang, pejabat dan pusat perniagaan serta mengurung orang ramai di rumah tetapi siapakah yang akan menjana ekonomi dan memberi makan berjuta pekerja hilang mata pencarian?

Kita tidak ada pilihan melainkan membuka ekonomi seluas-luasnya tetapi pada masa yang sama mempertingkatkan langkah pencegahan, khususnya vaksinasi dan pemantauan.

Setiap pekerja kilang, pembinaan dan perkhidmatan – tidak kira warganegara atau pendatang wajib divaksinasi.

Saya yakin ramai majikan bersedia membantu menampung sebahagian kos vaksinasi kerana mereka pun mahu operasi mereka berjalan lancar.

Ambil tindakan ke atas majikan yang gagal memastikan pekerjanya menjaga penjarakan sosial dan mengenakan pelitup muka serta memperbaiki kemudahan penginapan pekerja.

Masalahnya, peringkat awal lagi kempen vaksinasi kita perlahan dan bermasalah.

Nampak seolah-olah kerajaan kebingungan dan menteri saling merempuh satu sama lain sehingga timbul kecurigaan dan ketakutan dalam kalangan orang ramai untuk divaksinasi.

Jika kerajaan benar-benar peduli seperti sering diuar-uarkan, ia wajib memesatkan proses vaksinasi termasuk penduduk asing dan menggerakkan semula ekonomi termasuk menawarkan galakan baharu serta melonggarkan syarat.

Negara-negara jiran sedang pesat melaksanakannya.

Tanpa pemulihan penuh ekonomi, kemampuan rakyat membina semula kehidupan akan tersekat dan sumber kewangan kerajaan akan terus terhad.

Bantuan kewangan kepada rakyat seperti dibuat sekarang adalah tidak lestari dan tidak banyak membantu menjana ekonomi. Lagipun sebahagian besar bantuan itu adalah duit rakyat sendiri.

Natijahnya, kita tiada pilihan melainkan membenarkan ekonomi beroperasi seluas mungkin atau kita terselamat daripada Covid-19 tetapi kebuluran kerana ekonomi kita lumpuh.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!