X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

AS gagal hapuskan Taliban

Tentera Udara AS dilaporkan telah meninggalkan pangkalannya di Bagram, 50 kilometer dari Kabul baru-baru ini.
A
A

KABUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) mula menceroboh Afghanistan pada 7 Oktober 2001 ketika negara itu ditadbir oleh Presiden ke-43, George W Bush yang mengetuai tentera perikatan bagi menghapuskan rangkaian kumpulan Al-Qaeda dan pemimpinnya, Allahyarham Osama Laden.

Peperangan di Afghanistan tersebut juga bertujuan untuk menyingkirkan Taliban yang ketika itu menguasai ibu negara, Kabul kerana AS percaya ia memberi sokongan kepada Al-Qaeda.

Kumpulan Al-Qaeda menjadi sasaran serangan tentera Amerika dan sekutunya yang turut terdiri daripada sebahagian anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas Washington menuduh kumpulan itu mendalangi sarangan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.

Dalam serangan itu, hampir 3,000 mangsa terbunuh dan ribuan lagi cedera menyebabkan AS mula mengebom Al-Qaeda dan Taliban pada 7 Oktober 2001 sebelum pencerobohan melalui darat dilakukan beberapa hari kemudian.

Taliban yang membawa maksud pelajar dalam bahasa Pashton mula menguasai Kabul pada tahun 1996 sekali gus berjaya menumbangkan Presiden Afghanistan ketika itu, Burhanuddin Rabbani iaitu salah seorang pengasas kumpulan mujahidin yang berjaya mengalahkan tentera Kesatuan Soviet.

Ia muncul pada awal tahun 1990-an dan popular dalam kalangan penduduk keturunan Pashton di kawasan selatan negara itu yang berhampiran utara Pakistan.

Kumpulan Taliban dilaporkan semakin kuat ketika tentera AS dan sekutu-sekutunya berundur dari Afghanistan. - AFP
Kumpulan Taliban dilaporkan semakin kuat ketika tentera AS dan sekutu-sekutunya berundur dari Afghanistan. - AFP

Selepas Kabul dapat dikuasai semula oleh tentera AS dan sekutunya pada November 2001, sebuah pentadbiran sementara yang diketuai bekas Timbalan Menteri Luar Afghanistan, Hamid Karzai ditubuhkan.

Karzai pernah membantu kumpulan mujahidin sehingga menumbangkan rejim Presiden Mohammad Najibullah dengan mendapat sokongan kuat daripada Kesatuan Soviet yang ketika itu merupakan sebuah kerajaan Komunis.

Beliau kemudian menjadi presiden negara tersebut dari tahun 2001 hingga tahun 2014.

Namun, selepas beberapa orang presiden mentadbir Afghanistan, negara itu masih dilanda pertempuran melibatkan tentera kerajaan dengan kumpulan-kumpulan yang pro-Daesh dan Taliban.

Justeru, selepas lebih 240,000 orang terbunuh di negara berkenaan dan zon perang di Pakistan seperti dilaporkan oleh Institut Watson sejak tahun 2001, adakah berbaloi AS dan sekutu-sekutunya menceroboh Afghanistan?

Dalam peperangan di Afghanistan, Taliban dan Al-Qaeda masih wujud dan terbaharu ialah kumpulan militan Daesh yang terlibat dalam pembunuhan beberapa wanita di negara berkenaan.

Sepanjang peperangan itu berlangsung, Ketua Al-Qaeda, Osama Laden meninggal dunia di Pakistan dan bukannya di Afghanistan pada bulan Mei 2011.

Apa yang lebih menarik lagi ialah ketika di bawah pentadbiran Presiden ke-45 Donald Trump, AS mencapai satu perjanjian dengan Taliban pada Februari 2020 yang menyatakan komitmen Amerika untuk berundur dari negara tersebut.

Tentera Darat AS mula menceroboh Afghanistan pada Oktober 2001.
Tentera Darat AS mula menceroboh Afghanistan pada Oktober 2001.

Dalam perjanjian itu juga, Taliban berjanji untuk menghalang serangan dilakukan ke atas tentera AS dan bukannya terhadap tentera kerajaan Afghanistan.

Berikutan itu, pengunduran saki-baki tentera AS dan NATO yang jumlahnya kini kurang 11,000 orang dijangka selesai sepenuhnya menjelang 11 September tahun ini.

Dalam proses pengunduran itu, Taliban dilaporkan menguasai semula dua daerah di Ghazni dan dikatakan kembali memperoleh semula kekuatan secara beransur-ansur.

Seorang komander kumpulan itu, Mullah Misbah dilaporkan berkata kepada AFP bahawa Taliban berjaya menewaskan AS serta sekutunya dan rejim Islam akan ditubuhkan di Afghanistan.

Dalam pada itu, Karzai yang memerintah Afghanistan selepas Taliban disingkirkan AS turut mempersoalkan apa yang telah dicapai oleh Washington dalam perang yang dikatakan dilancarkan bagi memerangi ‘keganasan.’

Beliau menyatakan negara itu masih terjerumus ke dalam konflik dan masih terdapat penderitaan dalam kalangan rakyatnya selepas AS dan sekutu-sekutunya menceroboh negara tersebut kira-kira 20 tahun yang lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!