'Jangan tunggu mereka kibar bendera putih'

Annuar turun meninjau pelaksanaan program vaksinasi di PPR Taman Wahyu pada Sabtu.
Annuar turun meninjau pelaksanaan program vaksinasi di PPR Taman Wahyu pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi lampu hijau kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turun padang menghulurkan bantuan kepada rakyat terjejas Covid-19 terutama di Kuala Lumpur.

Annuar berkata, menangani pandemik perlu dijadikan sebagai 'misi bersama' dan tidak boleh meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada kerajaan.

Namun menurutnya, proses agihan tersebut perlu dibuat secara teratur dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya tidak mendatangkan masalah kepada jangkitan Covid-19.

"Kita tak larang (NGO beri sumbangan), cuma minta pematuhan SOP, jika buat dalam skala besar tetapi tidak teratur ia akan mendatangkan masalah.

"Niat elok nak membantu cuma pastikan ia tersusun, jadi mana-mana NGO atau individu nak membantu adalah digalakkan," katanya mengulas program edaran sumbangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul pada Jumaat.

Program edaran bantuan makanan oleh seorang ahli perniagaan itu telah menyebabkan orang ramai berkumpul dan beratur panjang hingga menimbulkan kebimbangan berlakunya kluster baharu.

Beliau ditemui ketika program Program Vaksinasi Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap hari pihaknya menerima permohonan daripada NGO yang menyatakan hasrat untuk menyalurkan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Ia termasuk aktivis Uncle Kentang (Kuan Chee Heng) dua hari lalu yang mahu membuka payung di Sentul untuk edar 300 pek makanan, saya kata teruskan.

"Kita jangan ada banyak kerenah birokrasi, cuma saya pesan jangan ada pihak salah guna bantuan tersebut dan yang penting pematuhan SOP yang sedang berkuat kuasa.

"Saya akan terus menggalakkan NGO untuk terus membantu, bagi yang tidak mahu uruskan edaran bantuan, boleh hantar ke Rumah Prihatin, kita boleh atur dan membantu untuk agihan," katanya.

Pada perkembangan sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kementeriannya akan melancarkan program Jejak Prihatin pada 15 Julai ini bagi membantu warga kota yang terjejas akibat Covid-19 termasuk yang berdepan masalah kesihatan mental.

Tambahnya, lebih 1,400 sukarelawan dan 1,000 ahli Majlis Perwakilan Penduduk akan turun menyantuni 7,000 keluarga daripada golongan miskin dan miskin tegar.

"Saya tak nak tunggu mereka (golongan terjejas) kibarkan bendera putih. Kita harap dapat pergi kepada mereka dan menjenguk (ke rumah) untuk mengetahui masalah dihadapi.

"Mereka mungkin mempunyai makanan yang cukup tetapi memerlukan sokongan dan perhatian. Ada yang tidak tahu cara untuk mengadu masalah pada waktu sukar ini akibat kuarantin, kehilangan ahli keluarga, tekanan mental dan sebagainya," katanya.