Kaunter kerajaan di kawasan PKPD ditutup sepenuhnya

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan kaunter kerajaan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditutup sepenuhnya walaupun sebelum ini ia diarah buka di seluruh negara bermula 1 Julai.
Bagaimanapun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, arahan penutupan itu dikecualikan bagi perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu masuk antarabangsa yang melibatkan urusan perkastaman, imigresen serta kuarantin.
“Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga 16 Julai.
“Selaras dengan arahan tersebut, prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian pejabat kerajaan semasa tempoh PKPD bagi kawasan terlibat akan mengguna pakai arahan pengoperasian pejabat kerajaan yang telah dikeluarkan pada 30 Mei lepas (Pengoperasian Pejabat Kerajaan dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.