X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Empat lagi kluster baharu di Sarawak

A
A

KUCHING - Empat lagi kluster kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak masing-masing satu di Bintulu dan Kuching serta dua di Serian menjadikan jumlah kluster aktif di negeri ini kepada 96 kluster.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan satu daripada kluster berkenaan, Kluster Jalan Haji Taha merupakan kluster di tempat kerja yang dikesan melibatkan sebuah syarikat pengawal keselamatan berpusat di Jalan Haji Taha, Kuching.

“Sejumlah 294 individu disaring dan 121 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 143 kes didapati negatif manakala 30 kes masih menunggu keputusan makmal,” menurut kenyataan itu.

Satu kluster yang dikesan di Bintulu pula, Kluster 35 Bintulu merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan sebuah pelantar minyak di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terletak di zon perairan maritim Bintulu.

“Sejumlah 83 individu disaring dan 15 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, manakala 68 kes masih menunggu keputusan makmal,” menurut JPBN.

Kluster Pagar Tebedu pula merupakan satu kluster yang dikesan melibatkan orang kena tahan (OKT) di Lokap Tahanan di Balai Polis Tebedu, Serian dengan sejumlah 29 individu disaring dan kesemuanya positif Covid-19 termasuk kes indeks.

Sementara itu, Kluster Semuja pula merupakan kluster melibatkan pusat tahanan Jabatan Imigresen di Depot Tahanan Imigresen Semuja di Daerah Serian yang merupakan kejadian kali kedua selepas kluster pertama diisytiharkan tamat pada 8 Mei.

Menurut JPBN, kluster terbabit bermula apabila enam kes positif Covid-19 dalam kalangan OKT warganegara Pakistan dikesan selepas disaring di fasiliti kesihatan swasta untuk tujuan penghantaran pulang ke negara asal pada 1 Julai.

“Sejumlah 75 OKT disaring dan daripada jumlah itu 71 OKT positif Covid-19 manakala empat lagi negatif pada saringan pertama. Siasatan lanjut dan pengesanan kontak yang lain masih dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, terdapat 361 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sarawak pada Sabtu dengan 194 kes daripadanya dikesan di Kuching, Sibu, Subis, Bau dan Bintulu selain satu kematian baharu dilaporkan akibat jangkitan wabak itu menjadikan jumlah korban meningkat kepada 418 orang. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!